PUTRAJAYA - Tiada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat berada dalam kenderaan yang membawa masuk Datin Vivy Yusof dan suaminya ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada Khamis.
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Vivy dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir ke SPRM Putrajaya jam 2.33 petang bersama pemandu mereka.
Pasangan tersebut tiba di SPRM Putrajaya bagi meneruskan sesi rakaman percakapan serta siasatan lanjut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya buat kali ketiga pada Khamis, pasangan suami isteri tersebut kelihatan tenang ketika mana pihak media merakam wajah mereka.
Namun begitu, Vivy dan suami tidak memberi sebarang reaksi ketika nama mereka dipanggil pihak media.
Tanpa menoleh ke arah media, kedua-duanya keluar dari kenderaan dinaiki dan menuju ke bangunan SPRM Putrajaya.
Terdahulu pada Rabu, Vivy dan suami keluar dari pekarangan ibu pejabat SPRM jam 4.23 petang ditemani pegawai penyiasat suruhanjaya yang turut berada dalam kenderaan dinaiki.
Pihak media difahamkan bahawa kehadiran pegawai penyiasat SPRM di dalam kereta yang dinaiki Vivy dan suami bagi dibawa ke kediaman pasangan itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Hasil penggeledahan di kediaman pasangan itu jam 5.30 petang pada Rabu, pasukan penyiasat SPRM menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Dalam serbuan itu, seramai 12 pegawai penyiasat terlibat dan proses tersebut turut disertai oleh peguam pengasas platform e-dagang FashionValet terbabit.
Pengeledahan di premis pasangan itu berakhir sekitar jam 8 malam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pembongkaran di premis tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.