SUNGAI BULOH - Seorang lelaki warga asing melecur di kepala dan tangan dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel besi dan sebuah bengkel kitar semula di Jalan Wellfare Kampung Baru Sungai buloh, di sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.48 tengah hari.
"Seramai 33 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, BBP Damansara, BBP Petaling Jaya, BBP Bukit Jelutong dan BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan dua bengkel yang terbakar 80 peratus.
"Seorang lelaki berusia 40-an melecur di kepala dan tangan akibat kejadian itu, kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan," ujarnya.