Bencana kebakaran di Australia bakal berakhir

Iklan
Paras air meningkat di Watsons Bay di Sydney selepas dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu. - Foto Agensi

SYDNEY - Krisis kebakaran hutan dahsyat yang melanda Australia sejak beberapa bulan lalu bakal berakhir dalam tempoh beberapa hari lagi selepas hujan lebat dijangka memadamkan puluhan kebakaran besar di negara itu.

Bandar raya Sydney mengalami hujan lebat dalam tempoh 20 tahun dan ia turut mengakibatkan banjir kilat di New South Wales (NSW) dan Queensland.

Iklan
Iklan

Menurut Biro Meteorologi Australia, sebanyak 391.6 milimeter (mm) hujan dicatatkan sejak empat hari lalu di Sydney, tiga kali ganda lebih banyak berbanding purata hujan untuk Februari.

Jumlah tertinggi dalam tempoh tersebut direkodkan pada Februari 1990 iaitu sebanyak 414.2mm.

Iklan

Beberapa kebakaran belukar telah terpadam akibat banjir termasuk paling besar yang memusnahkan 500,000 hektar tanah di utara Sydney dan kebakaran bersaiz hampir sama di bandar selatan negara itu.

Jurucakap Perkhidmatan Luar Bandar NSW, James Morris berkata, kira-kira 30 kebakaran masih berlaku setakat hari ini, namun ia dijangka akan segera padam apabila hujan bergerak ke bahagian selatan beberapa hari lagi.

Iklan

"Menjelang hujung minggu ini, kebakaran akan padam," katanya.

Hampir 90,000 rumah terputus bekalan kuasa elektrik dan pembekal utiliti memberi amaran bekalan mungkin mengambil masa selama beberapa hari untuk pulih di beberapa kawasan.

Sementara itu, Majlis Insurans Australia memberitahu, syarikat insurans telah menerima tuntutan bernilai kira-kira AS$30 juta (RM124.39 juta) pada awal pagi hari ini dan angka itu dijangka meningkat apabila seluruh kemusnahan disahkan secara jelas. - AFP