5 Presiden AS kalah undi popular tetapi menang pilihan raya

Iklan
Dari kiri: John Quincy Adams, Presiden AS ke-6, Rutherford B. Hayes,Presiden AS ke-19, Benjamin Harrison, Presiden AS ke-23, George W. Bush, Presiden AS ke-43, dan Donald Trump, Presiden AS ke-45

DALAM sejarah 58 Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), 53 pemenang jawatan Presiden memenangi kedua-dua undi popular dan undi elektoral.

Namun dalam lima pilihan raya sengit, pemenang undi popular tidak memenangi undi elektoral. Bagaimana ia berlaku?

Iklan
Iklan

Presiden dan Naib Presiden AS tidak dilantik secara langsung melalui undi popular. Sebaliknya, Artikel II, Seksyen I Perlembagaan memperuntukan pemilihan tidak langsung bagi jawatan tertinggi negara melalui sekumpulan elektor yang dilantik oleh negeri-negeri. Kumpulan ini dikenali sebagai Electoral College.

Untuk memenangi pilihan raya presiden moden, calon perlu memperoleh 270 daripada 538 jumlah undi elektoral. Negeri-negeri diberikan undi elektoral berdasarkan jumlah wakil di Dewan Perwakilan ditambah dengan dua senator mereka.

Iklan

Elektors diagihkan mengikut jumlah penduduk setiap negeri, bahkan negeri yang paling kurang penduduknya dijamin secara perlembagaan sekurang-kurangnya tiga elektor (satu wakil dan dua senator).

Berikut 5 presiden yang berjaya ke Rumah Putih walaupun tewas dalam undi popular;

Iklan

1. John Quincy Adams (1824)

Pada tahun 1824, terdapat empat calon Presiden terdiri daripada Parti Demokrat dan Republikan; Andrew Jackson, John Quincy Adams, William Crawford dan Henry Clay.

Apabila undi dikira, Andrew Jackson menang kedua-dua undi popular dan undi elektoral, namun untuk menjadi Presiden, memerlukan lebih daripada sekadar undi elektoral terbanyak, tetapi memerlukan majoriti (lebih daripada separuh), dan Jackson kekurangan 32 undi elektoral.

Dalam kes di mana tiada calon Presiden yang memenangi majoriti undi elektoral, Perlembagaan akan menghantar undian itu ke Dewan Perwakilan.

Menurut Pindaan Ke-12, Dewan hanya boleh mengundi untuk tiga calon yang mendapat undian terbanyak, yang menyebabkan Clay tersingkir daripada pertandingan, tetapi itu tidak menghalang beliau daripada menggunakan pengaruhnya sebagai Speaker Dewan.

Dewan memilih Adams untuk menjadi Presiden, walaupun Jackson telah mengalahkan Adams dengan 99 undi elektoral berbanding 84.

Adams kemudian melantik Clay sebagai Setiausaha Negara, yang membuat Jackson marah, dan menuduh lawannya mencuri pilihan raya dalam suatu perjanjian rasuah.

2. Rutherford B. Hayes (1876)

Sama seperti tahun 1824, pilihan raya pada 1876 tidak ditentukan oleh pengundi tetapi Kongres. Bagaimanapun, kali ini Perlembagaan tidak mempunyai jawapan kepada krisis elektoral yang berlaku.

Persaingan melibatkan calon Republikan, Rutherford B Hayes dan calon Demokrat, Samuel Tilden. Apabila undi dikira, Tilden memperolehi 184 undi elektoral, kurang satu undi daripada majoriti diperlukan pada ketika itu bagi memenangi pilihan raya.

Hayes menang hanya 165 undi, tetapi 20 lagi undi elektoral masih dipertikaikan. Parti Republikan menolak keputusan dari Florida, Louisiana dan Carolina Selatan, kerana kedua-dua parti mendakwa calon mereka menang di negeri tersebut.

Oleh itu, Kongres menubuhkan sebuah Suruhanjaya Elektoral Persekutuan bipartisan yang terdiri daripada wakil-wakil Dewan, senator dan hakim Mahkamah Agung.

Suruhanjaya tersebut mengundi untuk memberikan semua 20 undi elektoral yang dipertikaikan kepada Hayes, yang akhirnya memenangi pilihan raya dengan margin yang sangat tipis: 185 berbanding 184.

Mengapa Suruhanjaya memutuskan untuk menyerahkan pilihan raya kepada Hayes, yang kalah dalam kedua-dua undian popular dan undian elektoral?

Kebanyakan ahli sejarah percaya bahawa ada perjanjian yang dipersetujui antara kedua-dua parti.

Parti Demokrat, yang berpangkalan kukuh di Selatan, bersetuju untuk membenarkan Hayes menjadi Presiden sebagai balasan kepada janji Parti Republikan untuk menarik balik semua tentera persekutuan dari negeri-negeri bekas Konfederasi.

3. Benjamin Harrison (1888)

Pilihan raya 1888 antara Presiden Demokrat yang sedang berkhidmat, Grover Cleveland, dan pencabar dari Republikan, Benjamin Harrison, penuh dengan rasuah.

Kedua-dua parti saling menuduh membayar rakyat untuk mengundi calon masing-masing.

Setelah pilihan raya tamat, Cleveland menang semua kawasan selatan manakala Harrison menang di utara dan Barat termasuk Indiana dengan margin tipis.

Dengan menguasai Selatan, Cleveland memenangi undian popular dengan lebih 90,000 undi, tetapi masih kalah dalam undian elektoral dengan 233 berbanding 168.

Empat tahun kemudian, Cleveland kembali dan mengalahkan Harrison, menjadi Presiden AS pertama dan satu-satunya yang berkhidmat dalam dua penggal tidak berturut-turut.

4. George W Bush (2000)

Untuk 112 tahun berikutnya, keputusan pilihan raya kembali normal dengan pemenang undi elektoral juga menang undi popular. Sehinggalah Pilihan Raya Presiden 2000 yang akhirnya dibawa ke Mahkamah Agung.

Calon terlibat adalah George W Bush, dari Republikan dan calon Demokrat, Al Gore, yang berkhidmat sebagai Naib Presiden di bawah Presiden, Bill Clinton.

Keputusan terlalu rapat untuk dipastikan di tiga negeri: Oregon, New Mexico, dan Florida. Gore akhirnya memenangi Oregon dan New Mexico dengan margin sangat tipis (hanya 366 undi di New Mexico), hanya tinggal Florida untuk menentukan siapa akan menjadi Presiden.

Persaingan di Florida amat sengit sehingga undang-undang negeri itu mengarahkan pengiraan semula undi.

Apabila Setiausaha Negeri Florida, Katherine Harris, mengesahkan Bush sebagai pemenang dengan kelebihan 537 undi, Gore menyaman, dengan alasan bahawa tidak semua kertas undi telah dikira.

Mahkamah Agung Florida memihak kepada Gore, tetapi Bush mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung AS, yang akhirnya mengundi 5 berbanding 4 untuk membatalkan keputusan mahkamah Florida dan menghentikan pengiraan semula.

Dengan Florida di tangan, Bush menang undi elektoral, 271 berbanding 266, walaupun Gore memperoleh 500,000 undi lebih banyak dalam undian popular.

5. Donald Trump (2016)

Calon Republikan, Donald Trump menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton, meskipun Clinton memperolehi 2.8 juta lebih banyak undi dalam undian popular.

Walaupun Clinton cemerlang di bandar besar seperti California dan New York, tetapi Trump memperolehi kemenangan di beberapa swing states seperti Wisconsin, Pennsylvania dan Michigan.

Trump mungkin kalah dalam undian popular dengan jutaan undi, tetapi beliau memenangi undi elektoral dengan meyakinkan, memperoleh 304 undi elektoral berbanding 227 undi milik Clinton.

* Sumber: History.com