KAJANG - Seorang mekanik yang videonya tular di media sosial kerana memarahi jurutol dan menendang dinding kaunter di Plaza Tol Batu 9, Cheras dekat sini, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap wanita itu.
Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rahim Ramlan, 31, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah menggunakan perkataan kurang sopan terhadap Ridwana Umairah Mahadi, 22, dengan tujuan mengganggu keamanan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Tol T22, Plaza Tol Batu 9, Taman Cuepacs, Cheras dekat Hulu Langat, pada 1.38 pagi, 3 November lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Nurul Hafzan turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda.
Terdahulu, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya K S. Rinisha Priyya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran.
Sementara itu, Abdul Rahim mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memasukkan dadah disyaki metamfetamina ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada 9 malam, 4 November lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(e) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta tiga sebatan selain pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi laporan patologi dan kimia.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula. - Bernama