Kubung sesat masuk kondominium

Iklan
Kubung berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

GEORGE TOWN - Seekor kubung dipercayai tersesat ditemui tersangkut pada kerusi di sebuah kondominium di Persiaran Halia 3, Tanjong Tokong, di sini berjaya diselamatkan pada malam Selasa lalu.

Pegawai Unit Perhubungan Awam dan Dokumentasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Lt (PA) Mohammad Fakhrullah Ali berkata, kubung atau nama saintifiknya Sunda Flying Lemur itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri pada Rabu.

Iklan
Iklan
Kubung dipercayai tersesat dijumpai penduduk tersangkut pada kerusi di sebuah kondominium di Tanjung Bungah.

"APM Tanjung Bunga menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9 malam memaklumkan mereka menemui seekor kubung di situ," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah beliau, anggota APM tidak berdepan kesukaran untuk menangkap kubung berkenaan kerana ia tidak liar.

Iklan
Salah seorang anggota APM Unit Tanjung Bungah menyelamatkan kubung yang dipercayai tersesat di sebuah kondominium di Tanjung Bungah.

"Mereka tiba di kondominium tersebut kira-kira jam 9.40 malam dan kubung ini dapat ditangkap lima minit selepas itu.

"Bagaimanapun, anggota kita masih memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap, seperti helmet dan sarung tangan untuk tujuan keselamatan," ujarnya.

Iklan

Mohammad Fakhrullah berkata, pada tahun lalu, pihaknya turut menyelamatkan seekor kubung yang ditemui orang awam di kawasan perumahan di Tanjung Bunga.