Buruh, tukang gunting warga asing ditahan di Kota Bharu, Machang

Iklan
Warga asing yang ditahan dalam operasi selama dua hari di Kota Bharu dan Machang. Foto Ihsan Imigresen.

KOTA BHARU - Seramai 56 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) antaranya yang bekerja sebagai buruh binaan dan tukang gunting di negeri ini ditahan dalam operasi sekitar daerah ini serta Machang.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Pengurusan), Jabatan Imigresen Negeri Kelantan, Nik Akhtrarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata, operasi pada Rabu dan Khamis itu membabitkan penahan lelaki dan perempuan berusia antara 23 hingga 50 tahun.

Iklan
Iklan

"Tindakan Operasi Penguatkuasaaan dijalankan pada jam 11 pagi dengan kekuatan 18 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.

"Pada operasi kali ini, kami menahan 48 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia serta seorang lelaki warga Nepal,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Iklan
Ruman kongsi yang menjadi tempat tinggal warga asing diperiksa. Foto Ihsan Imigresen.

Beliau mengulas, pihaknya menjalankan dan memeriksa warga asing di beberapa premis termasuk rumah kongsi di kedua-dua daerah itu.

Di Kota Bharu antaranya melibatkan pemeriksaan warga asing di kawasan Kampung Kok Pasir, Kampung Tempoyak dan Kampung Beting Lebar Kemumin.

Iklan

Sementara di Machang, pemeriksaan warga asing melibatkan premis-premis di Kampung Merbau Chondong dan Pulai Chondong.

Warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting juga ditahan. Foto Ihsan Imigresen.

"Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan termasuk salah guna pas perjalanan, tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ke negara ini.

"Tahanan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kesalahan-kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963.

Tambahnya, orang ramai digesa tampil menyalurkan maklumat atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” ujar beliau.