Lelaki Bangladesh dalang jual minyak masak peket dicekup

Iklan
Norena (kiri) sedang menyoal siasat lelaki Bangladesh yang menjadi dalang pengedaran minyak masak peket sejak dua tahun lalu.

MELAKA - Seorang warga Bangladesh disyaki menjadi dalang penyeludupan dan pengedaran minyak masak peket sekitar negeri ini berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah kedai sayur di Batu Berendam di sini, pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil risikan yang dilakukan sejak sebulan lalu berjaya menahan suspek berusia 40-an yang bersembunyi di sebalik pekerjaan sebagai penjual sayur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki yang masuk ke negara ini dengan permit sebagai pekerja pembersihan dipercayai melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dengan menjadi pengedar, terutama di kawasan rumah kongsi tapak pembinaan.

Anggota penguat kuasa KPDN Melaka sedang memeriksa minyak masak peket yang disorokkan di kawasan rumah kongsi di Krubong di sini, pada Khamis.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya menemukan 80 minyak masak peket yang disorok di kawasan rumah kongsi di Krubong selain merampas 459 kilogram (kg) minyak masak peket di sebuah rumah di Malim dan Pengkalan Rama Pantai.

Iklan

"Dipercayai dalang ini mendapat bekalan dari pemborong, dia seolah-olah menjadi ejen akan pergi kedai runcit atau peniaga makanan di rumah kongsi tapak bina untuk jual antara lima hingga 10 kotak bersamaan 85 hingga 170 peket," katanya kepada pemberita dalam Ops Bersepadu Kita Gempur di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, Mohd Hafizee Ramli.

Iklan
Norena ketika ditemui pemberita selepas Ops Bersepadu Kita Gempur di Kampung Pengkalan Rama Pantai, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Norena berkata, dalang yang mempunyai kenderaan untuk melakukan penyelewengan barangan bersubsidi itu, sebelum ini diburu kerana disyaki menjadikan ladang sawit sebagai hab pengagihan bekalan melibatkan sekurang-kurangnya empat kawasan tapak binaan.

Ujarnya, beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan penyelewengan barang terkawal ini masih berlaku disebabkan sikap segelintir pemborong yang hanya mahu mengejar keuntungan semata-mata dan mengenepikan undang-undang yang telah ditetapkan.

Pegawai penguat kuasa KPDN menemui beberapa kotak minyak masak peket yang disimpan di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, pada Khamis.

Katanya, pihaknya juga sedang melakukan Ops pemutihan pemborong dan sepanjang operasi itu sebanyak lapan kes telah dihasilkan dan mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Kita mengambil tindakan begitu tegas kepada pemborong yang disyaki menyeleweng minyak masak peket dan menyiasat siapakah pemborong yang membekalkan minyak masak kepada Bangladesh itu," katanya lagi.

Dalam operasi bersepadu bersama JIM Melaka turut menahan enam warga asing berusia antara 30-an hingga 40-an yang disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.