KUALA LUMPUR - Seorang individu yang disyaki terlibat dalam kejadian buli seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 22 Oktober lalu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa suspek atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada jam 8 pagi.
"Kes Pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan melibatkan kes buli pelajar UPNM," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, polis merakam keterangan 16 individu membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dapatan siasatan berhubung kes berkenaan akan dibentangkan jawatankuasa siasatan Jumaat ini.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, siasatan akan dimuktamadkan dan hasil siasatan akan dibentang dalam satu mesyuarat bersama Lembaga Siasatan Angkatan Tentera Malaysia.
Pada 22 Oktober lalu,seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun.
Rakaman percakapan mangsa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan beliau juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.