KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang undang-undang baharu berkaitan tahanan rumah hanya terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, rang undang-undang itu antara lain turut memberikan kuasa budi bicara mahkamah untuk menimbang kelayakan dan memerintahkan individu layak menjalani tahanan rumah dengan pemakaian alat 'belenggu’ atau device khas hingga hari perbicaraan.
Saifuddin Nasution berkata, hukuman tahanan rumah tidak layak diberikan kepada individu dengan kesalahan yang dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, kesalahan melibatkan keselamatan negara di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan dan kesalahan melibatkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Begitu juga dengan mereka yang terlibat dengan kesalahan serius dengan hukuman pemenjaraan 10 tahun ke atas, kesalahan di bawah Sekyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952, kesalahan keganasan rumah tangga dan kanak-kanak dan kesalahan punyai hukuman sebatan mandatori.
"KDN sasarkan ia terpakai kepada individu tahanan reman dan mereka yang tidak terlibat dengan kesalahan yang disenaraikan tadi,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi menempatkan tahanan rumah dengan alat 'belenggu', KDN mengesyorkan takrifan alat 'belenggu' tidak semestinya tertakluk kepada pemakaian gari, tetapi memakai alatan khas selain rang undang-undang itu diharmonikan dengan peraturan atau akta lain yang sedia melalui pindaan.
"Yang Berhormat Gelugor tentu selesa dengan cadangan KDN bahawa (akta baharu) memberi kuasa kepada mahkamah membuat keputusan.
"Dalam Seksyen 43, 46 dan 47 Akta Penjara iaitu soal pembebasan berlesen, perintah parol dan perintah kehadiran wajib adalah di bawah kuasa Menteri dengan mengarahkan Ketua Pengarah Penjara membuat peraturan.
"Namun untuk menempatkan orang tahanan rumah dengan pemakaian alat 'belenggu' (selain gari) memerlukan rang undang-undang baharu...dalam akta dan peraturan semasa belum ada," katanya.
Sebelum itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), masing-masing mencelah meminta penjelasan berhubung sama ada peruntukan budi bicara dan kuasa menteri akan dimansuhkan dalam Akta Penjara bagi penggubalan rang undang-undang baharu.
Terdahulu, Saifuddin menjelaskan tujuan rang undang-undang itu adalah bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kepadatan penghuni penjara yang kini mencecah 87,229 orang seluruh negara, merangkumi jumlah individu di sebalik tembok penjara dan program pemulihan dalam komuniti secara sistem perintah parol, pembebasan berlesen dan perintah kehadiran wajib.
Selain itu, beliau berkata, jumlah individu dikenakan perintah tahanan reman di penjara pula sudah mencecah 28,000 orang setakat ini.
"Justeru, kita berpendapat punca kesesakan penjara disumbangkan oleh mereka yang berstatus tahan reman dan menunggu tarikh perbicaraan," katanya.
Menurut Saifuddin, secara dasar kementerian sudah mendapat persetujuan Kabinet untuk menggubal akta baharu itu dan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung kerangka akta sedang dilaksanakan selain sesi libat urus bersama semua pemegang taruh penting, termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. - Bernama