SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap dengan pendirian meneruskan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Beliau berkata, tarikh perbicaraan kes itu dijangka berlangsung antara 11 hingga 13 November ini namun beliau difahamkan Saifuddin memohon ia ditangguhkan dengan alasan sibuk dengan tugas kepada negara.
"Saya saman Saifuddin atas kapasiti waktu dia melaksanakan kempen pilihan raya negeri (PRN), dia guna jentera kerajaan untuk buat serangan masa PRN, kita kumpul semua maklumat yang dilontarkan semasa kempen itu yang mana tidak benar kita saman dia.
"Saya bukan saman Menteri Dalam Negeri, saya saman Saifuddin Nasution Ismail, jangan salah faham, dia telah membuat kenyataan kenyataan fitnah, saya saman fitnah kepada beliau...saya difahamkan dia mohon untuk ditangguhkan, dia bagi alasan kesibukan tugas kepada negara, kita tak pasti mahkamah beri penangguhan atau tidak, kalau beri penangguhan tak apa lah kita beri tarikh lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Exco di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata saman fitnah itu diharap akan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin selepas Menteri Dalam Negeri itu gagal memohon maaf dan membayar pampasan kepadanya kerana didakwa memfitnahnya dalam dua program di Kedah dan Pulau Pinang.
Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan pada 3 Ogos menerusi firma guaman, Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Menurut penyataan tuntutan tersebut, Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).