FORMAT saingan Piala Malaysia kekal penglibatan 16 kelab bermula dengan cabaran pusingan 16 perlawanan selepas majlis undian pada 11 November.
Aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik sama seperti edisi sebelum ini.
Bagi merancakkan saingan, tiga kelab Liga A1 Semi Pro akan menyertai kejohanan tertua di rantau Asia ini berbanding musim lalu hanya dua kelab.
Tiga kelab tersebut adalah kelab yang menduduki tangga tiga teratas saingan pusingan pertama Liga A1 Semi Pro, Melaka FC, PT Athletic FC dan Kuala Lumpur Rovers FC.
Ketiga-tiga kelab berprestasi tinggi ini bakal berentap bersama-sama 13 kelab Liga Super lain.
Proses undian pada musim ini menyaksikan kelab yang berada di tangga pertama hingga kelapan selepas pusingan pertama Liga Super layak secara automatik ke pusingan 16 selaku pasukan ‘seeded’.
Sementara baki lima kelab yang berada di kedudukan kesembilan hingga 13 selepas pusingan pertama Liga Super akan diundi bersama-sama tiga kelab teratas Liga A1 Semi-Pro.
Ini untuk menentukan lawan masing-masing bertemu pasukan ‘seeded’ dengan undian akan dijalankan secara terbuka.
Sebagai rekod, perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia dijangka bermula pada 20 November.
Sementara itu, pasukan yang tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia secara automatik akan bertanding di pentas MFL Piala Cabaran.
Sebagai rekod, Piala Malaysia 2023 edisi ke-97, dimenangi Johor Darul Ta'zim (JDT) mengatasi Terengganu FC, 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.