TUDM kenal pasti tempat mendarat pesawat hantar bantuan semasa MTL

Iklan
Mohd Asghar Khan bersalaman dengan penerima sijil pada Majlis Penghargaan kepada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat TUDM yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Filipina, di Pengkalan Udara Subang hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengenal pasti tempat mendarat di seluruh negara bagi pesawat yang akan terlibat dalam operasi menyelamat dan penghantaran bantuan dalam kawasan bencana yang berlaku ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Panglima TUDM, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, ini berikutan pasukan itu akan terlibat dalam Operasi Murni di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi bencana, terutamanya banjir pada tahun ini.

Iklan
Iklan
Mohd Asghar Khan. Foto Bernama

"Seperti tahun-tahun lepas, kita sudah bersedia dan telah kenal pasti kawasan yang dilanda (banjir), pernah dilanda banjir dan semua tempat pendaratan untuk penghantaran bantuan makanan.

"Bagi TUDM, kami sudah mempersiapkan pesawat di Kuantan, Butterworth dan bahagian selatan negara. Bilik operasi akan dioperasikan oleh komander daripada Tentera Darat dan kami akan turut bekerjasama dengan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) di setiap negeri untuk melaksanakan tugas,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Iklan
Antara pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Filipina, di Pengkalan Udara Subang hari ini. Foto Bernama

Terdahulu, Mohd Asghar Khan hadir pada majlis penghargaan terhadap 16 pegawai dan anggota yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina susulan Taufan Tropika Kristine (Trami) yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

Dalam misi bermula 27 Oktober hingga 1 November itu, TUDM telah mengatur gerak sebuah helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi menyokong kerajaan Filipina dalam bantuan logistik udara untuk mengedarkan barangan bantuan bencana di sekitar kawasan terjejas.

Iklan

Anggota dan pegawai TUDM berkenaan dilaporkan berjaya melaksanakan sembilan sorti atau misi penerbangan melibatkan sejumlah 17.5 tan bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan) dan bekalan makanan dalam kotak (8.4 tan).

Mohd Asghar Khan (barisan belakang, berdiri tengah) bergambar dengan penerima sijil pada Majlis Penghargaan kepada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat TUDM yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Filipina, di Pengkalan Udara Subang hari ini. Foto Bernama

Bagi penglibatan dalam misi HADR itu, kesemua mereka menerima ‘Award of The Military Civic Action Medal dan Award of The Chief of Staff, AFP Commendation Medal and Ribbon’ yang disampaikan sendiri oleh Panglima Tentera Udara Filipina (PAF) Left Jen Stephen P. Parreño pada 31 Oktober lepas dalam satu majlis di Pangkalan Udara Villamor.

"Kejayaan melaksanakan misi ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada rakyat Filipina

yang terkesan bencana, tetapi turut mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan

Filipina, sekali gus menunjukkan kemampuan TUDM untuk melaksanakan pelbagai misi dan kami berbangga kerana diberi peluang untuk melaksanakannya,” kata Mohd Asghar Khan.

Sementara itu, ketua misi HADR ke Filipina Mej Thaddaeus Raphael Azis@Sait berkata cabaran utama yang dihadapi sepanjang operasi ialah angin kencang dan cuaca tidak menentu yang menyukarkan misi, namun dapat ditangani pasukan berkenaan dengan baik.

Beliau menyatakan sudah beberapa kali terlibat dalam misi penghantaran bantuan di dalam negara yang cabarannya tidak jauh berbeza, namun keadaan muka bumi di Filipina yang bergunung dan memiliki banyak pulau memberinya pengalaman baharu.

"Sepanjang operasi, kami melakukan rutin sama iaitu menghantar bantuan ke Lapangan Terbang Bicol dan Lapangan Terbang Naga dan dari situ tentera Filipina akan mengagihkan bantuan berkenaan ke kawasan terjejas.

"Pesawat yang digunakan dalam misi ini juga sangat baik apabila dapat melakukan misi ini dengan baik, selamat dan berjaya,” katanya. - Bernama