SHAH ALAM - Idea penubuhan Pakatan Nasional dilihat sebagai langkah terkebelakang yang bertentangan dengan Malaysia Baharu.
Wartawan veteren, A Kadir Jasin berkata, penubuhan kerajaan Melayu dan bumiputera itu hanya sekadar perbualan di media sosial, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mempersoalkan sokongan yang diperoleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, idea tersebut tercetus berkemungkinan selepas foto minum petang Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Pas Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Datuk Khairuddin Abu Hassan tular di media.
"Pertemuan dengan Abdul Hadi itu kemudiannya diikuti dengan laporan yang mengatakan Majlis Tertinggi UMNO memberi mandat eksklusif kepada Ahmad Zahid untuk mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir.
"Dalam laporan tersebut, Ahmad Zahid menyebut UMNO tidak mempunyai pilihan daripada bekerja dengan Dr Mahathir kerana Pas telah berbuat demikian.
"Tetapi apabila saya sebutkan ini kepada Perdana Menteri, beliau berkata:"Dia (Ahmad Zahid) ada sokongan ka?” katanya dalam satu artikel di kadirjasin.blogspot hari ini.
A Kadir berkata, Presiden UMNO itu bukan individu yang layak mengetuai sebarang rundingan membabitkan beberapa parti dan janggal bagi perdana menteri untuk berbuat demikian dengan individu bergelar Orang Kena Tuduh (OKT).
Menurutnya, Ahmad Zahid kini berdepan 30 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM40 juta daripada sebuah syarikat berkaitan UMNO sebagai duit poket kononnya untuk kebajikan.
Dalam pada itu katanya, sekiranya Pakatan Nasional berjaya direalisasikan, ia mustahil mendapat sokongan parti bumiputera di Sabah dan Sarawak yang majoriti terdiri daripada bukan Islam.
"Pakatan ini tidak lebih sekadar perbualan di media sosial kerana ia sepatutnya menarik sokongan parti perdana menteri itu sendiri iaitu Bersatu, UMNO, Pas, kumpulan yang menentang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain parti Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.
"Tidak ada diperkatakan mengenai kedudukan DAP yang merupakan parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) selain Amanah dan parti gabungan lain dalam PH.
"Berdasarkan naratif antara UMNO dan Pas, seolah-olah DAP tiada tempat dalam pakatan tersebut, maka tiada wakil parti bukan bumiputera,” katanya.
A Kadir berkata, UMNO dan Pas cuba meruntuhkan kerajaan PH dengan menuduh DAP sebagai anti Melayu serta Islam bagi meraih sokongan orang Melayu dan Islam.
Menurutnya, orang Melayu dan Islam tidak terancam di bawah PH sebaliknya menjadi lemah serta tercemar akibat rasuah kerajaan terdahulu di bawah pimpinan UMNO.
"Ramai di antara pemimpin itu yang akan dibicarakan dan lebih ramai akan disiasat. Mereka perlu berbohong kepada rakyat bahawa mereka bersiap sedia untuk bangkit semula.
"Dengan itu saya tidak menolak kemungkinan kewujudan fasa kedua dalam peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.