KUALA LUMPUR - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan pelarasan pencen sebanyak 15 peratus selepas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini kerana pelaksanaan SSPA yang diumumkan kerajaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat, turut melibatkan perkhidmatan ATM termasuk veteran ATM.
"Ini bermakna bagi veteran ATM yang bersara sebelum Januari 2013, pelarasan pencen fasa satu akan dilaksanakan pada Disember 2024 berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012...iaitu sebanyak lapan peratus.
"Setelah gaji SSPA 2024 diperolehi, pelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera Tetap 1982. Pelarasan kedua sebanyak 7 peratus yang pertama tadi 8 peratus akan dibuat pada awal 2026,
"Jadi secara ringkasnya, di bawah pelarasan ini, veteran yang berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan sebanyak 8 peratus dan 7 peratus menjadikan jumlah pelarasan pencen mereka adalah sebanyak 15 peratus.
"Puas hati Yang Berhormat (Ketereh )?,” Seloroh Mohamed Khaled ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Pertahanan pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khir Mohd Nor tersenyum dan bangun mengucapkan terima kasih di atas komitmen kerajaan dalam membela nasib pesara tentera.
"Terima kasih Yang Berhormat Menteri, Kalau dah naik macam itu, oklah. Insya-ALLAH,” katanya.
Sebelum ini Khir merupakan individu yang lantang yang membawa isu pelarasan pencen ATM dalam Parlimen.
Tahun lalu, Khir mengingatkan kerajaan membuat penyelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013, mengikut Akta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1972.
Beliau berkata, sudah lebih 10 tahun pesara ATM tunggu pelarasan pencen ini dilaksanakan kerana ini hak mereka dan wajib dilaksanakan kerajaan.