Kepelbagaian aliran dalam Islam perlu diraikan - Wan Ji

Iklan
Wan Ji ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 464 bertajuk Merungkai Kekeliruan RUU Mufti yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Khamis. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Kepelbagaian aliran dalam Islam jangan dilihat sebagai ancaman sebaliknya ianya perlu diraikan bagi menampilkan Islam adalah agama yang hebat.

Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin berkata, melihat kepelbagaian sebagai peluang untuk mencari kebijaksanaan gagal apabila timbul masalah dalam masyarakat hari ini iaitu aliran pemikiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aliran pemikiran itu adalah terdiri daripada Al-Asyairah, Al-Maturidiah termasuklah Salafiyyah.

"Bahkan Nabi Muhammad SAW dapat diterima di Madinah kerana masyarakat di situ terdapat kepelbagaian agama, bangsa berbeza dengan di Makkah kerana pada peringkat awal nabi memang sukar diterima di Makkah.

Iklan

"Saya jenis tak suka bergaduh kerana perbezaan aliran pemikiran ini, termasuklah isu kafir-mengkafir di kalangan orang Islam.

"Bekas Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof pernah teruk dikafirkan sebelum ini, malah orang yang pertahankan beliau juga dikafirkan kerana perbezaan politik dan dituduh sebagai liberal,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 464 bertajuk Merungkai Kekeliruan RUU Mufti yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Program itu dikendalikan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator dan turut disertai dua panelis iaitu Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

Jelasnya, di Malaysia secara tidak langsung mengiktiraf aliran Salafiyyah kerana ada negeri yang memang alirannya Salafiyyah.

"Bahkan bukan raja tetapi muftinya juga, Perlislah, sehinggakan rata-rata akan kata itu negeri dituduh Wahabi walhal Wahabi dan Salafi ini dua benda berbeza,” katanya.

Wan Ji dalam pada itu berharap para agamawan janganlah berterusan mengamalkan budaya mengkafirkan sesama Islam kerana aliran fahaman yang berbeza.

"Budaya dialog perlu diwujudkan, istilahnya muzakarah, bukan bukan budaya debat.

"Kita jumpa bincang cari titik persamaan, bila berjumpa ini banyak benda boleh berubah.

"Bayangkan kalau Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) itu boleh berfungsi untuk menyatukan aliran-aliran Islam dengan menampilkan Islam itu lebih baik,” ujarnya.