MERAK Jalanan sebenarnya kagum dengan semangat luar biasa orang kita.
Demi makanan tular mereka sanggup beratur panjang dan menunggu berjam-jam, malah ada yang sanggup datang dari jauh.
Perkara ini sendiri berlaku pada teman Merak Jalanan yang boleh digelar sebagai ‘ratu makanan tular’. Asal ada menu baharu keluar, dialah orang pertama yang sibuk mencari ke sana sini.
Terbaharu, sahabat Merak Jalanan itu mengidam makan ‘megi malam’ yang dijual di gerai tepi jalan kerana tular di media sosial. Beberapa kali beratur, tiada rezeki kami kerana memang sentiasa sold out.
Pada hari keempat, barulah teman Merak Jalanan ini dapat apa diidam-idamkan. Tengok ramuan tambahan ‘megi T20’ itu buat Merak Jalanan telan air liur jugalah.
Bak kata netizen, harga yang dijual itu meskipun dianggap mahal adalah ‘kos untuk orang yang malas masak, tetapi rajin mahu beratur’.
Ada juga warganet yang berpendapat RM15 adalah harga standard untuk tampung kos keseluruhan walaupun hanya membuka gerai di tepi jalan.
Tak kurang juga ada yang membandingkan harganya dengan sepinggan nasi berlauk yang lebih mengenyangkan di kedai agak selesa dengan kerusi dan meja. Tetapi, itu pendapat masing-masing, bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.
Berbalik cerita pasal makanan tular, susah sebenarnya nak percaya bila orang komen sedap. Merak Jalanan pernah terkena, sudahlah beratur lama di bawah terik matahari, sekali dapat makanan yang tular, langsung tak kena dengan tekak di samping harga yang tak berpatutan.
Merak Jalanan selalu juga melihat live di TikTok kegigihan orang kita beratur panjang juga untuk beli supper pada jam 2 hingga 4 pagi. Tak pasal-pasal rasa lapar pada waktu dinihari.
Betul kata netizen, ‘racun TikTok’ sememangnya bahaya.