SHAH ALAM - Kereta berusia setengah abad menjadi pilihan Mohd Daud Kassim, 65, bagi merealisasikan impian sejak kecil untuk menjelajah dunia.
Dia yang juga Pengarah Urusan Swichtec Power Systems Sdn Bhd itu berkata, dia memulakan perjalanan pada 15 September dengan sebuah kereta lain yang di pandu oleh Prumjeet Singh berserta seorang mekanik, Zainal Mohd Said.
Menurutnya, ekspedisi itu bermula dari Shah Alam ke Betong, Thailand dan kemudian terus ke negara lain antaranya Laos, China, Kazakhstan, Azerbaijan serta Georgia.
"Impian untuk pandu sendiri ketika menjelajah dunia merupakan hasrat sejak kecil dan saya ambil masa empat tahun untuk membuat persiapan penuh melibatkan keperluan kenderaan dan perancangan perjalanan.
"Kereta lama menjadi pilihan saya sebab ia lebih memudahkan daripada segi kelengkapan elektronik dan kaedah baik pulih. Contohnya, macam dekat China sebelum ini cuaca terlalu sejuk dan kenderaan tidak dapat dihidupkan.
"Saya dan pemandu hanya perlu tolak sahaja untuk hidupkan semula, berbeza kalau kita bawa kereta terkini lebih-lebih lagi jika automatik yang memerlukan banyak alat membaiki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Daud memaklumkan, dia tidak meletakkan had masa untuk menghabiskan ekspedisi tersebut kerana hanya mahu bercuti dengan tenang.
Ujarnya, kadang-kadang dia dan rakan-rakan menghabiskan masa dua hingga tiga hari di satu-satu lokasi untuk meneroka lebih mendalam adat serta budaya di kawasan terbabit.
"Sepanjang perjalanan hampir dua bulan ini, memang ada pelbagai cabaran antaranya masalah berkaitan visa, kereta rosak, komunikasi, kesihatan mental dan fizikal terutamanya pemandu.
"Kalau jadi pemandu, tubuh badan kena sihat sebab akan menggunakan banyak tenaga terutamanya ketika pemeriksaan di sempadan.
"Dia seorang sahaja dibenarkan berada di kawasan pemeriksaan waktu itu dan perlu keluarkan semua beg serta barangan dan alatan. Kereta perlu dikosongkan sebelum melalui stesen imbasan x-ray.
"Jika ada kawan, boleh bantu angkat semua itu tapi sebaliknya. Sebab itu kesihatan fizikal juga penting untuk melakukan jelajah secara pandu sendiri ini," jelasnya.
Tambah Mohd Daud, perjalanan kini sudah mencecah 18,000 kilometer dan ada kira-kira 3,000 kilometer sahaja lagi untuk selesaikan ekspedisi ini.
Menurutnya, sebelum memulakan perjalanan tersebut, sahabat ahli qariah Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong melakukan majlis bacaan doa selamat agar segala urusan perjalanan menggembara itu lancar dan selamat.
"Alhamdulillah, setakat sekarang (di Turkiye) semua masih dalam keadaan terkawal. Saya harap situasi ini kekal sehingga saya berjaya menjelajah ke semua negara yang terpilih.
"Bagi mereka di luar sana yang mempunyai impian untuk menggembara, kita kena set minda dan terus melakukannya jika benar-benar minat. Selagi masih ada waktu, peluang dan keadaan kesihatan mengizinkan... teruskan," katanya.