Little Gaza beri sinar baharu

Iklan
Abu Aoun mengambil risiko membuka restoran Hay al-Rimal.

KAHERAH - Bassem Abu Aoun menghidangkan shawarma ayam turki ala Gaza di restoran miliknya di kawasan kejiranan timur Kaherah yang turut mendapat julukan 'Little Gaza'.

"Pada mulanya, saya hanya berserah dengan keputusan ini. Fikiran saya bercampur-aduk kerana memikirkan sama ada boleh hidup selama setahun lagi dengan wang simpanan yang ada atau memulakan perniagaan,” kata Abu Aoun, 56, ketika membuka restoran Hal al-Rimal yang dinamakan sempena kawasan kejirannya di Bandar Gaza yang kini musnah dibedil rejim Zionis.

Iklan
Iklan

Kira-kira empat bulan selepas melarikan diri dari Gaza ke Kaherah, dia nekad membuka perniagaan di kawasan kejiranan Bandar Nasr tersebut.

Seorang pekerja menyediakan tempahan makanan pelanggan.

Iklan

Abu Aoun menyertai deretan kafe lain dan kedai manisan lain yang dibuka peniaga Palestin yang diberi tempoh menginap secara sementara di sana.

Menurutnya, kawasan itu telah menjadi 'ruang selamat' buat komuniti Gaza yang masih trauma dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu setelah hilang segala-galanya akibat kempen pengeboman Zionis.

Iklan

"Jika peperangan itu sudah berakhir, saya mungkin terpaksa mengambil masa selama dua atau tiga tahun untuk memulakan hidup kembali di Gaza. Tiada apa lagi yang tinggal,” jelasnya.

Pelanggan restorannya juga terdiri daripada saudara Palestin yang berbual mesra dalam dialek Gaza.

Di dinding bersebelahan premis tersebut, terdapat lukisan mural jalinan bendera Palestin dan Mesir.

"Saya masih mempunyai tanggungjawab besar untuk menyara anak yang menuntut di universiti,” ujarnya yang memiliki dua restoran di Gaza sebelum ini.

Difahamkan, Abu Aoun dan keluarganya adalah antara lebih 120,000 penduduk Palestin yang tiba di Mesir melalui lintasan sempadan Rafah antara November 2023 dan Mei lalu sebelum kawalannya dirampas Zionis.

Premis perniagaan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada saudara Palestin.

Kebanyakan daripada mereka kehabisan wang simpanan kerana membayar ribuan dolar kepada agensi yang mengendalikan proses pemindahan tersebut meskipun pemerintah melarang kem pelarian secara kekal ditubuhkan di Kaherah dan hanya membenarkan pemindahan untuk tujuan perubatan dan pemegang dwi pasport.

TERKENANG KAMPUNG HALAMAN

Bagi Abu Aound, keputusan membuka restoran di tempat orang bukanlah mudah, namun dia bersyukur kerana tidak tersilap langkah.

"Perniagaan ini akan diperluaskan dengan pembukaan cawangan kedua,” katanya sambil tersenyum sambil menghidangkan salah satu menu tradisional Gaza kepada sebuah keluarga dari Asia Tengah.

Tidak jauh dari premis perniagaan itu, seorang lagi peniaga Palestin menjual minuman pencuci mulut terkenal di Gaza, bouza w barad yang kini digemari kebanyakan pelanggan tempatan.

"Tipulah jika kami tidak bimbang dengan risiko membuka perniagaan di tempat orang kerana tidak dikenali komuniti di sini. Tetapi, kami perlu hadapi cabaran ini dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

Shawarma ala Gaza yang dibalut dengan kertas pembalut bercorak keffiyeh yang menjadi simbol perjuangan penduduk Palestin.

"Terdapat banyak peluang di sini dan ia lebih selamat serta stabil,” ujar Kanaan Kazem, 66, yang membuka kedai itu pada September lalu.

Bagi Bashar Mohammed, 25, 'Little Gaza' mengingatkannya kepada kampung halaman.

"Saya berasa seperti berada di Gaza. Wilayah kami tidak lagi boleh didiami kerana musnah teruk. Sukar untuk kembali ke sana. Saya perlu bina hidup baharu di sini,” menurutnya dalam nada sebak. - AFP