SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang bakal digubal boleh dilaksanakan kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dalam proses menggubal undang-undang pengamal akan melihat sama ada ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.
"Saya dalam Dewan Negara duduk dalam jawatankuasa semakan undang-undang, kita ada penanda aras bahawa apakah undang-undang yang ingin digubal itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Pastinya RUU Mufti 2024 ini tidak bercanggah dan kita sedia maklum sekadar ianya hanya bersifat simbolik tetapi diberikan kelebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 464 Merungkai kekeliruan RUU mufti yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Khamis.
Program itu dikendalikan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator dan turut disertai dua panelis iaitu Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin.
Jelasnya, negara mempunyai peruntukan untuk bina sekolah Islam termasuklah undang-undang kewangan Islam yang disebut secara terus terang dengan istilah mudarabah tidak riba dan sebagainya,
"Baru-baru ini kerajaan salurkan dana RM100 juta untuk peruntukan kewangan Islam, siapa yang kata Akta RUU Mufti ini bercanggah, sebenarnya ia tidak bercanggah.
"Ini kerana di peringkat di Wilayah Persekutuan, soal pentadbiran Islam terletak pada Persekutuan dan undang-undang yang hendak dibawa perlu melalui Parlimen dan negeri-negeri melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita perlu lihat dari sudut undang-undang itu, sejauh mana ia dilihat sebagai undang-undang yang tidak menyisihkan kelompok-kelompok tertentu. Dari segi perundangan, lebih elok kalau istilah itu sudah terangkum di dalamnya makna membezakan dengan Syiah.
"Hampir semua pengkaji teologi Islam mengatakan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu adalah yang macam kita sebut Al-Asyairah, Al-Maturidiah,empat mahzahab itu dari fekahnya dan tasawufnya dari Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali," ujarnya.