IPOH - Hasrat kerajaan Perak meraikan 500 tahun usia Kesultanan negeri ini pada 2028 adalah sangat wajar dan perlu disokong.
Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak, Ibrahim Ahmad berkata, dalam tempoh ini pelbagai program percambahan idea berkaitan Kesultanan Perak perlu diatur yang melibatkan pelbagai pihak terutama pakar dan pemikir.
Menurutnya, perkara itu termasuklah perbincangan seperti forum, pidato, pertandingan mengarang esei dan sajak yang melibatkan generasi muda terutamanya mahasiswa dan pelajar sekolah menengah.
"Paling tidak ini akan memberi kesedaran peranan atau fungsi Raja Pemerintah di Negeri Perak.
"Selain itu, kewujudan jawatan Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Sistem Pembesar Perak juga perlu diketengahkan. Hal ini penting kerana Perak masih mengekalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan seperti Kesultanan Melaka, iaitu Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua.
"Bukan sahaja rakyat tidak tahu peranan dan gelaran mereka bahkan kebanyakan rakyat tidak menyedari pun kewujudan orang-orang besar ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak itu berkata, dari aspek akademik, semua karya dan penulisan perlu dibincangkan melalui platform yang sesuai oleh mereka yang mempunyai kepakaran atau pengetahuan dalam bidang ini.
Katanya, terdapat banyak karya atau penulisan yang membincangkan sejarah kewujudan Perak sama ada versi tempatan mahu pun luar negara.
"Edisi tempatan misalnya, 'Sejarah Melayu', 'Sulalatus Salatin', 'Salasilah Raja-raja Perak' (naskhah masih tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia), 'Sejarah Perak' (Buyong Adil) dan Cempaka Sari, Sejarah Kesultanan Negeri Perak (Fauzi Basri), Kesultanan Melayu Perak (Harun Mat Piah).
"Bagi versi barat, 'The Abode of Grace' (Barbara Watson Andaya, 1979), 'A History of Perak' (RO Winstedt & RJ Wilkinson dlm JMBRAS, 1934), dan 'The Early Ruler of Perak, Pahang and Acheh' (RO Winstedt, 1932, dlm JMBRAS).
"Hasil pembentangan boleh dibukukan oleh pihak penganjur dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya.
Beliau menjelaskan, rakyat perlu didedahkan dengan pelbagai aspek sejarah negeri dan perkembangan atau perubahan dari aspek politik, ekonomi mahu pun sosial sejak dari awal kewujudan Perak hingga kini kerana ia berkait rapat dengan jati diri bangsa Melayu.
Justeru ujarnya, mahu tidak mahu konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggak pemerintahan Malaysia perlu disuburkan setiap masa melalui pelbagai program.
"Seperti disebut dalam Susunan yang Pertama Adat Lembaga Orang-orang Melayu di Dalam Negeri Perak Darul Ridzuan dari Zaman Purbakala, hubungan antara pemerintahan dan pentadbiran adalah umpama sebuah
bahtera.
"Raja Pemerintah yang diumpamakan sebagai nakhoda kapal, bukan sahaja pemimpin yang berilmu pengetahuan dan luas pengalaman, malah mahir menerajui haluan bahtera, faham selok belok lautan, lambungan ombak, arah angin, perubahan awan dan makna taburan bintang di langit.
"Bahkan semakin besar bahtera itu, semakin banyak tanggungjawab di samping memastikan setiap ‘anak kapal’ mematuhi undang-undang dalam melaksanakan tugas dan menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.
Idea Sambutan 500 Tahun Kesultanan Perak pernah diutarakan bekas Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak pada tahun 2020.
Terdahulu dalam sidang media, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin memaklumkan, perbincangan akan diadakan bersama pelbagai pihak termasuk Arkib Negara Malaysia untuk melihat program atau bahan yang boleh diangkat sebagai menyambut usia tersebut.
Kesultanan Perak bermula pada tahun 1528 apabila Sultan Mudzaffar Shah I diangkat sebagai Sultan Perak yang pertama, menurut laman web Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak.
Baginda juga merupakan anak kepada Sultan Mahmud Shah, iaitu pemerintah terakhir Kesultanan Melayu Melaka.
Sultan Perak ketika ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merupakan Sultan Perak yang ke-35.