FESTIVAL Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF24) yang bakal berlangsung 20 Disember depan diyakini mampu menjadikan negeri itu sebagai hab halal antarabangsa pada masa hadapan.
Acara yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu menyasarkan kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung.
Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata, lebih 450 pempamer dalam kalangan pemain industri halal dari dalam dan luar negara antaranya Vietnam, Bangladesh dan Namibia dijangka menyertainya dengan sasaran jualan sebanyak RM1.8 juta.
"MIHF24 yang bertemakan 'Mengoptimumkan Industri Halal' membawa matlamat untuk memupuk pertumbuhan mampan dalam industri global di samping menjadi platform utama bagi syarikat halal mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada golongan sasar yang lebih luas,” katanya selepas Majlis Prapelancaran MIHF24 di Melaka baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri yang juga Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, MIHF24 menawarkan ruang perniagaan kepada pempamer produk halal pelbagai kategori seperti makanan, minuman, kosmetik, kesihatan dan pelancongan.
Katanya, antara aktiviti utama sepanjang festival itu adalah padanan perniagaan melibatkan pelabur, pengeluar dan pemain industri halal serta bengkel dan seminar.
"MIHF24 yang julung kali dianjurkan itu juga bertepatan dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dalam usaha menggamit kedatangan lebih ramai pelancongan domestik dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya ketika merasmikan majlis berkenaan berkata, kerajaan negeri komited memastikan semua aspek termasuk jualan makanan, restoran dan premis hotel di Melaka diyakini pelancong, khususnya dalam aspek 'Halalan Toyyiban'.
Beliau berkata pemilik hotel yang mempunyai premis dapur atau restoran di negeri itu diseru segera memohon pensijilan halal dalam usaha meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan mesra Muslim.
Penekanan itu juga selaras dengan pencapaian Melaka yang meraih Anugerah Kecermerlangan Prestasi Halal peringkat negeri daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini. - Bernama