Vivy, suami sambung beri keterangan di SPRM hari ini

Iklan
SPRM sekali lagi akan merekam keterangan Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi akan merakam keterangan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar pada Jumaat.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, pasangan terbabit selesai direkod keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 10.30 malam Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiada sebarang sitaan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menyerbu rumah kedua pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof pada Khamis.

Iklan

Sumber berkata, pasukan siasatan suruhanjaya itu bertindak 'menggeledah' rumah kedua tersebut pada petang Khamis, selepas Vivy dibawa keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 4.00 petang.

Kata sumber, setelah berpuas hati dengan siasatan dijalankan di rumah kedua itu, pasukan penyiasat bergerak pulang dan tiba di ibu pejabat sekitar jam 8.15 malam.

Iklan

Terdahulu media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah serta PNB.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, orang ramai membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Vivy dan Fadzaruddin Shah turut memberi maklum balas mengenai isu itu dengan mengambil tindakan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka pada malam Selasa, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah kedua-duanya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.