BATU PAHAT - Seorang peniaga kedai makan kerugian RM140,000 selepas dipercayai ditipu dalam urusan penjualan dua utas jam tangan berjenama mewah miliknya di dalam talian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan berhasrat menjual tangan berjenama Rolex di aplikasi Facebook dengan membuat iklan pada Oktober lalu.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya telah menerima mesej dari aplikasi Facebook Messenger dan mangsa seterusnya telah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi 'Whatsapp' bagi urusan pembelian jam tangan tersebut.
"Suspek kemudiannya telah menyatakan ingin membeli jam tangan tersebut dengan harga RM88,000.
"Mangsa seterusnya telah menawarkan sebuah lagi jam tangan berjenama untuk dijual kepada suspek dengan harga RM52,000.
"Suspek bersetuju dan telah menyatakan ingin membeli kedua-dua jam tangan tersebut dengan harga RM140,000 dan bayaran akan dibuat ke dalam akaun mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas Shahrulanuar Mushaddat, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp pada 4 November lalu, daripada suspek menyatakan bayaran telah dibuat berjumlah RM140,000 ke dalam akaun mangsa melalui mesin deposit cek.
"Mangsa kemudiannya telah membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM140,000 di dalam akaun milik mangsa.
"Suspek kemudiannya telah meminta mangsa untuk menyerahkan jam tangan tersebut kepada syarikat penghantar yang telah diupah bagi tujuan penghantaran.
"Mangsa kemudiannya menyerahkan kedua-dua jam tangan tersebut kepada pihak penghantar untuk tujuan penghantaran kepada suspek," ujarnya.
Bagaimanapun, pada 5 November lalu, mangsa mendapati wang berjumlah RM140,000 tersebut telah tiada dalam akaun dan cek tersebut merupakan 'cek tendang'.
"Mangsa telah merasa tertipu dan kemudiannya telah membuat laporan polis ekoran telah mengalami kerugian RM140,000.
"Polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan urusan jual beli atas talian dan orang ramai boleh layari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial," katanya.