Ramai penunggang motosikal tiada lesen memandu, tidak perbaharui cukai jalan - JPJ

Iklan
Aedy Fadly (dua dari kiri) menyampaikan replika lesen memandu kepada peserta program MyLESEN di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kesalahan tiada cukai jalan dan lesen memandu paling tinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak pelaksanaan Op Khas Motosikal, 1 November lalu.

Statistik setakat tujuh hari pelaksanaan operasi mega itu merekodkan 15,828 notis hasil pemeriksaan 59,116 motosikal di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, pelbagai alasan diberikan penunggang motosikal antaranya tidak sempat perbaharui dan tiada masa untuk ambil lesen.

Katanya, semua pengguna jalan raya dan penunggang motosikal khususnya diingatkan untuk perbaharui lesen dan cukai jalan kerana ia merupakan keperluan penting.

Iklan

"Sekiranya berlaku apa-apa di jalan raya akan mengakibatkan kesusahan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Perbaharui lesen dan cukai jalan. Kita akan sita motosikal yang ditahan sekiranya didapati tidak mempunyai cukai jalan, insurans serta ubah suai ekstrem dan ini yang akan dilaksanakan JPJ dalam operasi khas," katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa di sini pada Jumaat.

Iklan

Tambah Aedy, selain itu, operasi khas ini turut melakukan sitaan 282 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, JPJ juga mengeluarkan 752 notis arah periksa dan beberapa notis lain.

Sebelum ini, Aedy dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, Operasi Khas Motosikal 2024 di seluruh negara akan dilaksanakan selama dua bulan bermula 1 November dengan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama antaranya tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas.

Pelaksanaan operasi berkenaan susulan statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan maut secara bulanan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Dalam kes berasingan, JPJ sedang mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai notis tuntutan yang dikemukakan seorang ahli perniagaan berhubung dakwaan hak cipta plat MADANI.

Kata Aedy Fadly, pihaknya akan meneliti apa tindakan yang perlu diambil.