Senior dituduh cederakan pegawai kadet UPNM guna seterika wap panas

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan mencederakan juniornya, menggunakan seterika, dua minggu lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai kadet senior Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika dua minggu lalu.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Egusra Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik asrama Blok Kasturi, ALK UPNM Kem Sungai Besi di sini, pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan ikat jamin pada kadar minimum.

Iklan

"Saya mohon jaminan dikurangkan kerana ibu bapa saya merupakan pesara kerajaan.

"Saya juga masih belajar serta berjanji, dalam setiap perbicaraan kes, saya akan hadir ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

"Ia termasuk syarat tambahan iaitu tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

"Mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan yang dihadapi tertuduh, iaitu menekap seterika sehingga menyebabkan dada kanan mangsa, mengalami lecuran kesan bakar tahap kedua," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Egusra membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Turut hadir dalam prosiding ini ialah ibu bapa dan ahli keluarga tertuduh, namun mereka enggan ditemu ramah ketika disapa pengamal media.

Sebelum ini, polis merakam keterangan 16 individu membabitkan mangsa, suspek antaranya pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan.

Pada 22 Oktober lalu, seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya, di bilik asrama universiti berkenaan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun.

Rakaman percakapan mangsa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan dia juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan yang dihadapi.