KUALA LUMPUR - Seramai 100 usahawan terdiri dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan diberi pendedahan teknik pemasaran e-dagang menerusi program Pembangunan Premis Digital.
Program dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama MyNic Berhad di bawah Kementerian Digital itu melibatkan perbelanjaan dana zakat berjumlah RM472,800.
Ia bertujuan melahirkan usahawan asnaf yang cakna dengan perkembangan teknologi dan mengaplikasikan teknik pemasaran digital untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Menerusi program itu, ia turut membantu sebahagian usahawan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ada antaranya memperoleh RM10,000 hingga RM30, 000 sebulan.
Seorang peserta, Ahmad Izzat Amir Ahmad Bahiki, 30 berkata, perniagaan tempahan pin dan rantai kunci plastik diusahakan sejak 2019 menunjukkan peningkatan positif selepas membangunkan laman sesawang bagi tujuan pemasaran.
"Bisnes yang dijalankan secara kecil-kecilan dari rumah ini alhamdulillah menunjukkan peningkatan melalui tempahan diterima melalui pemasaran digital.
"MAIWP banyak bantu usahawan asnaf mengembangkan perniagaan, dengan bantuan awal modal sebanyak RM1,000, kini saya berjaya peroleh pendapatan RM3,500 bergantung kepada permintaan," katanya pada majlis penutup Pembangunan Premis Digital Usahawan MAIWP di Dewan seminar Menara MAIWP pada Khamis.
Perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Pada majlis itu, seramai 10 usahawan asnaf terbaik diberikan saguhati selepas berjaya membangunkan laman sesawang perniagaan masing-masing.
Ahmad Izzat dinobat pemenang utama laman sesawang terbaik menerima sijil penghargaan, trofi serta wang tunai RM700.
Bagi pemenang tempat kedua, Nur Nadiah Anuar, 34, berkata, penubuhan laman sesawang perniagaan cucur udang membolehkannya untuk turut memasarkan perkhidmatan katering serta produk sos pencicah diusahakan.
"Bisnes makin dapat sambutan kerana pelanggan boleh dapat maklumat lebih terperinci berkaitan perkhidmatan disediakan dari sudut harga, kuantiti serta membuat tempahan.
"Selain mempunyai kedai beroperasi di Segambut, perkhidmatan katering cucur udang ditawarkan ke kawasan Lembah Klang sementara sos pencicah pula dipasarkan ke seluruh negara.
"Alhamdulillah saya dapat jana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan dan saya juga telah keluarkan zakat secara berperingkat bagi membantu golongan asnaf lain yang memerlukan," katanya.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata, usahawan asnaf terlibat dipantau dan dibimbing secara berterusan serta diberikan latihan-latihan keusahawanan bersesuaian.
Ujarnya, inisiatif Pembangunan Premis Digital adalah selari dengan perkembangan teknologi dan inovasi memastikan usahawan MAIWP memanfaatkan kemudahan yang ada untuk mengembangkan perniagaan.
"Ini bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan operasi perniagaan, tetapi juga membantu usahawan kita menyebarluaskan perniagaan mereka di dalam dan luar negara.
"Saya berharap usahawan terus komited belajar dan mengembangkan perniagaan. Insya-ALLAH apabila sudah berjaya kelak boleh membayar zakat untuk sumbang kepada orang lain pula," katanya.