SHAH ALAM - Malaysia buat masa ini akan meneruskan komitmen untuk menempatkan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) dalam misi pengaman di Selatan Lubnan, meskipun berdepan cabaran susulan konflik yang melanda negara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang ketetapan yang akan diambil juga tertakluk kepada keputusan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
"Persoalan berapa lama, bila dan sama ada (MALBATT) perlu segera (balik) dan sebagainya, semua tertakluk kepada UNIFIL iaitu pemerintah yang bertanggungjawab atas semua pasukan pengaman di sana kerana mereka (pasukan pengaman pelbagai negara) di bawah UNIFIL.
"Hanya pasukan (MALBATT) itu datang dari negara kita. Pertama, kita memang sentiasa berhubung rapat dengan UNIFIL. Kedua, kita bersama-sama dengan negara-negara yang menghantar pasukan (pengaman di Lubnan) sentiasa berbincang untuk membuat keputusan bersama.
"Apa pun, negara kita Malaysia memang sudah ada rancangan back up (sandaran) sekiranya berlaku apa-apa yang lebih mudarat dan keputusan oleh UNIFIL (sama ada) keluarkan pasukan (di Lubnan) dan sebagainya," katanya ketika temu bual di Bernama Radio pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan pasukan MALBATT akan dibawa pulang sekiranya situasi di Lubnan semakin meruncing.
Ia susulan seramai enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan dalam insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 petang waktu tempatan pada Khamis.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota keselamatan itu.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, situasi yang dihadapi ketika ini hampir sama dengan pasukan pertama yang dihantar menyertai misi berkenaan.
"Memang kita tidak nafikan di lapangan itulah keadaan dan cabaran yang dihadapi dan keaadannya serupa apabila negara mula menghantar MALBATT 850-1 dahulu. Ini adalah komitmen negara dalam menyokong dan memastikan keamanan sejagat, mengelak peperangan dan mengatasinya melalui diplomasi.
"Maka, ia sudah menjadi komitmen negara dan dalam masa sama reputasi kita untuk terus sama-sama dengan lebih 40 negara lain yang turut mempunyai matlamat dan tujuan yang sama," katanya.