JPJ rancang pendekatan berbeza MyLesen tahun depan

Iklan
Aedy Fadly menyampaikan replika lesen kepada peserta program MyLesen 2024 di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan merancang agihan pelaksanaan dengan kemungkinan pendekatan berbeza bagi bantuan program MyLesen pada tahun hadapan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kerajaan telah bersetuju meneruskan program MyLesen ini yang menawarkan lesen memandu kepada golongan B40 dan belia.

Iklan
Iklan

"Menerusi Program MyLesen Tahun 2024, Kerajaan telah menanggung bayaran latihan dan ujian memandu yang akan memanfaatkan lebih 36,000 golongan B40 selain menerima lebih 130,000 permohonan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41,853 permohonan layak untuk menyertai program tersebut setelah menerusi tapisan syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, program ini merupakan komitmen dan usaha cakna kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.

Katanya, inisiatif ini juga sebagai langkah untuk melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya.

Iklan

"Kerajaan berharap para penerima bantuan di bawah Program MyLesen akan memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya kerana program ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan kepada golongan sasar," ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, MyLesen tahun ini di Kuala Lumpur melibatkan 1,824 penerima manfaat golongan B40.

"Ini terdiri daripada Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (1,790 orang), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14 orang) dan PSV Bas (20 orang)," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Madani 2025 pada Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15,000 anak muda kurang berkemampuan seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

Program MyLesen bertujuan membantu golongan B40 dan belia mendapatkan lesen motosikal Kelas B2, PSV untuk e-hailing dan bas serta Lesen Memandu Barangan (GDL) untuk lori.