KUANTAN - Beberapa lokasi 'hotspot' banjir kilat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu akan diberi perhatian bagi memastikan semua aliran longkangnya lancar dan tidak tersumbat dengan sampah-sarap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, langkah itu diambil susulan beberapa kejadian banjir kilat yang melanda kawasan itu sebelum ini.
Menurutnya, antara langkah segera dilakukan termasuk melalukan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.
"Susulan kejadian banjir kilat di Kawasan Perindustrian Semambu baru-baru ini, saya dapati banyak barang lusuh dan sampah dibuang ke dalam longkang oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan aliran tersumbat.
"Lebih dikesalkan, kejadian itu berlaku di kawasan sama dan puncanya juga disebabkan longkang tersumbat," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Chun Kuang berkata, untuk rekod, kejadian sama pernah berlaku di kawasan itu tahun lalu dan kerja-kerja pembersihan longkang juga telah dilakukan.
"Malangnya ada pihak mengambil mudah membuang sampah dan barang lusuh ke dalam longkang menyebabkan ia tersumbat dan kejadian banjir kilat di kawasan itu berulang kembali," katanya.
Jelasnya, susulan kejadian baru-baru ini, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaran longkang di kawasan terlibat telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak.
"Pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan semua longkang di kawasan ini berada dalam keadaan baik lebih-lebih lagi dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
"Kita juga meminta kerjasama penduduk untuk segera melaporkan kejadian longkang tersumbat di kawasan masing-masing untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawap menguruskan sisa atau sampah dengan tidak membuangnya merata-rata termasuk ke dalam longkang.