Permudah urusan sijil halal

Iklan
PRODUK makanan di pasaran juga kini banyak yang sudah mempunyai logo halal selepas usaha Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri memudahkan urusan permohonan. Foto CANVA

JHEAINS luluskan dalam tempoh kurang 30 hari

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, halal bermaksud hukum membenarkan sesuatu perbuatan dalam Islam, diperbolehkan atau tidak ditegah oleh syarak, diizinkan atau dibenarkan.

Ia bermaksud sesuatu yang dibenarkan atau diizinkan menurut hukum Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk makanan, minuman, pakaian, perhiasan, perbuatan, percakapan, perkahwinan, perniagaan, muamalat, kontrak dan perkara-perkara lain.

Iklan
Iklan

Oleh itu, apa sahaja usaha untuk mendapatkan perkara yang halal adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan oleh setiap Muslim dalam kehidupan harian mereka.

Dengan memastikan setiap aspek kehidupan itu semuanya halal, umat Islam akan meraih keberkatan ALLAH SWT.

Iklan

Selain itu, menghindari perkara yang haram merupakan langkah yang penting untuk menjaga diri daripada dosa dan kemudaratan rohani.

Begitulah mukadimah disampaikan khatib dalam khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bertajuk Mencari keberkatan dengan makanan yang halal, baru-baru ini.

Iklan

"Sebagai contoh, memakan ayam adalah halal jika cara pemprosesannya dilakukan dengan teliti terutamanya dari segi penyembelihan, kebersihan dan penyediaannya.

SEBAGAI umat Islam, wajib memilih restoran yang halal, apatah lagi kini banyak premis yang mempunyai sijil halal. Foto CANVA

"Setiap aspek ini wajib mematuhi syariat sebelum ayam tersebut layak dimakan.

"Konsep toyyib juga meliputi kebersihan premis makanan dan perlu memastikan tiada kehadiran haiwan perosak atau najis yang boleh menjejaskan kesucian makanan tersebut,” hurainya.

Sijil halal tingkat keyakinan pengguna

Tambah khatib, zaman teknologi kini memudahkan kita semua mengakses maklumat dan sepatutnya umat Islam lebih celik dalam memilih makanan yang halal dan bersih.

"Tindakan menggalakkan syarikat memohon sijil halal memberikan keyakinan kepada semua pengguna ketika berbelanja.

"Sejak 1974, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk produk makanan dan minuman yang memenuhi syarat-syarat syarak.

"Usaha ini semakin berkembang sehingga beberapa anugerah telah diperolehi di peringkat antarabangsa termasuk pengiktirafan oleh Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI 2023) yang meletakkan Malaysia kekal di tempat pertama setelah 10 tahun berada dalam sektor makanan halal di peringkat global,” jelas khatib.

Namun katanya, industri halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu bukan hanya kerana produk halal itu bebas daripada kandungan babi atau alkohol, tetapi juga disebabkan oleh faktor-faktor lain yang menyokong kualiti dan integriti produk berkenaan.

Khatib kemudian mengajak para jemaah untuk menghayati makna ayat ke-114 surah an-Nahl:

"Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah ALLAH berikan kepada kamu dan syukurilah nikmat ALLAH, jika kamu hanya menyembah kepada-NYA.”

Khatib menyambung, Imam At-Tabari menjelaskan, ayat tersebut merupakan perintah ALLAH kepada manusia untuk makan rezeki yang halal lagi baik seperti haiwan ternakan yang disembelih mengikut syariat.

KEBERKATAN dapat dikecapi melalui makan makanan yang halal lagi bersih dan berkualiti. Foto CANVA

"ALLAH juga mengingatkan kita agar mensyukuri nikmat-NYA termasuk rezeki yang halal dan kepatuhan kepada perintah ALLAH ini merupakan sebenar-benar tanda pengabdian kepada-NYA,” katanya.

Usaha mudahkan pohon sijil halal

Dari segi fi atau bayaran permohonannya, ia tidak membebankan industri kerana ia dinilai berdasarkan saiz industri berkenaan.

"Selain itu, kerajaan negeri menerusi JHEAINS juga telah memperkenalkan program Kotej Halal bagi mewujudkan rangkaian halal yang lebih meluas di kawasan luar bandar bermula 2022.

"Jumlah yang menyertai skim ini sehingga kini direkodkan seramai 263 peserta dan 206 daripada mereka berjaya mendapatkan sijil halal,” jelasnya.

Sehingga 2024 juga katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi membantu usahawan kecil melepasi piawaian pensijilan halal dengan geran bantuan sehingga RM5,000.

"Geran bantuan ini bertujuan menaik taraf premis dan alatan supaya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

"Ia sudah pasti membantu peniaga-peniaga kecil mendapatkan sijil halal dan meluaskan lagi pasaran perniagaan mereka,” katanya.

"Oleh yang demikian, terpulang kepada masyarakat untuk memilih produk atau premis makanan yang diinginkan, tepuk dada tanyalah iman.

PELBAGAI jenis makanan dari luar yang masuk ke dalam negara kebelakangan ini membuatkan umat Islam perlu lebih berhati-hati memilih makanan yang halal. Foto CANVA

"Akhirnya, marilah kita bertanggungjawab terhadap rezeki yang dikurniakan ALLAH. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

"Alangkah ruginya umat Islam jika meninggalkan suruhan agama yang memerintahkan supaya mengambil makanan yang halal serta menjauhi yang haram,” jelas khatib.

***Khutbah Jumaat ini disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan disiarkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.