GEORGE TOWN - Lapan premis makanan termasuk dua buah restoran nasi kandar di sekitar George Town di sini, ditutup 14 hari selepas mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan selain penemuan najis tikus dan lipas di bahagian dapur.
Lebih meloyakan terdapat satu premis yang dikesan melalukan penyediaan makanan kepada pelanggan dengan memproses dan memotong ikan mentah di atas lantai.
Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang berkata, operasi yang dijalankan bukan bertujuan menjejaskan peniagaan mana-mana pihak sebaliknya untuk menekankan kepentingan mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan.
"Kita lakukan pemeriksaan secara menyeluruh di bahagian dapur, tempat penyimpanan makanan serta stor sebelum menemui najis tikus di beberapa lokasi.
"Selain najis tikus, ada premis yang kita periksa membawa kepada penemuan lipas di bahagian rak air,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Soo Siang berkata, tindakan penutupan serta-merta terhadap lapan premis itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 38(1) Establisymen Makanan MPPP 1991.
Selain itu, bagi kesalahan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, sebanyak dua premis telah dikeluarkan notis tawaran kompaun kerana didapati tidak menyediakan perangkap gris dan secara terus mengalirkan basuhan sisa makanan ke dalam parit awam.
Beliau berkata, MBPP tegas dalam memastikan semua premis-premis makanan di kawasan pentadbiran ini mematuhi tahap piawaian kebersihan yang ditetapkan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan piawaian kebersihan dan telah melaksanakan pemantauan secara berkala serta membuat pemeriksaan secara rutin dan rawak secara mengejut dari semasa ke semasa.
"MBPP sangat prihatin dalam aspek kebersihan tempat penyediaan makanan dan tempat memasak di restoran memandang faktor kebersihan ini adalah amat penting bukan sahaja untuk memastikan kesihatan pelanggan tetapi juga untuk menjaga reputasi industri makanan dan minuman (F&B) di kawasan pentadbiran MBPP," katanya lagi.