SHAH ALAM - Kuasa-kuasa besar perlu melaksanakan sekatan ekonomi dan diplomatik terhadap Israel yang terus bertindak di luar batas sehingga menggugat ketenteraman dunia.
Ia susulan serangan Israel di Lubnan yang mengakibatkan enam anggota MALBATT 850 cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, negara itu.
Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid berkata, Armada Bersatu mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim Israel menyerang menggunakan dron yang mengakibatkan kecedaraan kepada pasukan pengaman Malaysia.
"Tindakan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan bukan sahaja di Lubnan tetapi di seluruh dunia yang sedang mengikuti kerakusan kuasa Israel.
"Armada juga berharap agar kuasa-kuasa besar mempertimbangkan untuk melaksanakan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas mana-mana negara yang aktif mengugat ketenteraman dunia,"katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden yang berlaku ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1.54 tengah hari tadi (7.54 malam waktu Malaysia).
Dalam kejadian itu, lima anggota membabitkan MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.
Mengulas lanjut, Harris Idaham berharap Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri memantau situasi dan tahap keselamatan anggota MALBATT.
"Armada juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan Lubnan yang telah memberi rawatan pantas kepada anggota-anggota MALBATT di lokasi kejadian," katanya.