Wanita hadapi masalah mental hilang dari rumah

Iklan
Tengku Nor Falihin hilang selepas keluar ke sebuah kedai perkakasan di berhampiran Taman Dato Rashid di Kuantan sejak Rabu lalu. Foto Facebook Balai Polis Beserah Official

KUANTAN - Seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan hilang selepas keluar ke sebuah kedai perkakasan di sebelah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Dato Rashid di sini sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kehilangan mangsa, Tengku Nor Falihin Tengku Izlan Shah, 34, dilaporkan ibunya jam 11.55 malam hari yang sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal bersama keluarga di Taman Dato Rashid keluar ke kedai perkakasan berhampiran kira-kira jam 6 petang selepas mendapat kebenaran ibunya.

Gambar mangsa yang dirakam CCTV pada hari kehilangannya. Foto Facebook Balai Polis Beserah Official

"Pengadu kemudian meminta bantuan penduduk untuk mencari kerana bimbang keselamatan anak perempuannya yang baru keluar hospital selepas menjalani rawatan mental," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, pihak keluarga telah mencari di Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa menaiki sebuah bas ekspres menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada hari yang sama.

"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna merah dengan 'sweater' berbelang hitam putih lengan panjang, berseluar gelap, tudung hitam berbunga, berselipar dan membawa beg silang hitam," katanya.

Iklan

Tambah beliau, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik perlu mendapat rawatan setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.