PUTRAJAYA - Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dilihat keluar dari pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kira-kira lima jam memberi keterangan pada Jumaat.
Pasangan suami isteri itu dilihat keluar bersama peguam, Shaarvin Raaj Selva Kumar sebelum menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire kira-kira jam 1.58 petang.
Vivy bersama suaminya sebelum itu tiba di bangunan itu kira-kira jam 9.13 pagi bagi proses rakaman keterangan untuk hari keempat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi akan merakam keterangan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar pada Jumaat.
Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dirakam keterangan untuk membantu siasatan.
Terdahulu, pasangan terbabit selesai direkod keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 10.30 malam pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiada sebarang sitaan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menyerbu rumah kedua pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof pada Khamis.
Sumber berkata, pasukan siasatan suruhanjaya itu bertindak 'menggeledah' rumah kedua tersebut pada petang Khamis, selepas Vivy dibawa keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 4 petang.
Kata sumber, setelah berpuas hati dengan siasatan dijalankan di rumah kedua itu, pasukan penyiasat bergerak pulang dan tiba di ibu pejabat sekitar jam 8.15 malam.
Terdahulu media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.