SEPANG - Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengenal pasti sebanyak 2,159 kawasan berisiko berlaku bencana dalam tempoh 10 bulan bermula Januari lalu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, daripada jumlah itu sebanyak 122 kes telah dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan selanjutnya.
"Insiden yang dilaporkan melibatkan kawasan berkemungkinan berlaku hakisan tanah. Apabila menemui kawasan yang dijangka boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat, kita akan laporkan kepada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) atau agensi berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan geosains (JMG) dan sebagainya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, seramai 533 anggota pasukan Chameleon telah digerakkan untuk melaksanakan rondaan di kawasan titik panas yang dikenal pasti berlaku bencana.
Dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, Aminurrahim memberitahu, pihaknya telah menjalankan hampir 30,000 rondaan dengan minimum lima kali seminggu.
"Kita juga ada tambahan tugas iaitu memantau kemungkinan berlaku pokok tumbang akibat ribut.
"Jadi kita wujudkan satu pasukan 'Elak Pokok Tumbang' untuk menggalakkan pihak bertanggungjawab menjaga kawasan berstruktur tidak kukuh dan pokok yang mungkin akan tumbang," jelasnya.
Sementara itu Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Dr Salwa Ramly berkata, terdapat 500 siren telah dipasang di kawasan kerap berlaku banjir seluruh negara bagi memberi amaran kepada penduduk setempat mengenai keadaan sesama.
Menurutnya, siren akan berbunyi berdasarkan kepada status aras air sungai di kawasan terlibat.
"Siren akan dibunyikan bagi memberi amaran kepada lokaliti dengan kekuatan bunyi lebih kurang satu hingga dua kilometer (km).
"Ada juga siren yang tidak berbunyi kerana berlaku vandalisme, peranti hilang atau sampah sarap yang tersangkut pada peranti.
"Kita juga dalam perancangan untuk menambah siren terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai model ramalan banjir," katanya.
___________________________________________________________________________
Nadma kenal pasti lapan lagi lokasi PPK termasuk Sabah Sarawak
SEPANG - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengenal pasti lapan lagi lokasi di seluruh negara yang akan dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan mangsa banjir.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ketika ini satu PPK telah siap dibina di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor dan sudah sedia digunakan.
Menurutnya, PPK tersebut merupakan dewan serba guna yang telah dibaik pulih dan dinaik taraf serta mampu menempatkan sehingga 400 mangsa banjir.
"Kapasiti yang besar dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit berbanding sebelum ini hanya boleh menempatkan 150 hingga 190 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Lapan lagi lokasi dikenal pasti ialah di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang yang mana masih dalam proses tender terbuka untuk pembinaan.
"Kita menjangkakan tempoh 15 bulan untuk disiapkan dengan di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, proses pembinaan PPK melibatkan struktur lengkap serta memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kesesuaian reka bentuk.
Menurutnya, proses berkenaan perlu menitikberatkan lokasi, tapak, proses tender kerajaan serta memenuhi kriteria jumlah penduduk yang akan dipindahkan.
"Buat fasa pertama, hanya sembilan PPK sahaja (dikenalpasti) tetapi ia akan berterusan untuk memenuhi keperluan menggantikan PPS sekarang yang guna sekolah.
"Kos pembinaan bagi setiap satu PPK dianggarkan sehingga RM5 juta bergantung kepada kawasan dan kita harapkan selepas ini sekolah tidak lagi digunakan sebagai pusat pemindahan kerana lokasinya dibina berhampiran kawasan sekolah.
"Apabila ia tidak digunakan pada musim bencana, pihak sekolah boleh guna untuk tujuan kokurikulum masing-masing," ujarnya.