Untung bersih Westport meningkat kepada RM233.07 juta suku ketiga 2024

Iklan
Westports mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM233.07 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 30 September, 2024, berbanding RM195.0 juta pada suku yang sama tahun lepas - Foto: Bernama

WESTPORTS Holdings Bhd (Westports) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM233.07 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 30 September, 2024, berbanding RM195.0 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku tersebut meningkat kepada RM572.57 juta berbanding RM542.31 juta sebelumnya.

Iklan
Iklan

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Westports meningkat kepada RM641.33 juta berbanding RM573.35 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan naik kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.60 bilion, dengan pertumbuhan didorong oleh jumlah kontena dikendalikan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 8.11 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

"Perdagangan serantau dalam Asia menyokong pertumbuhan jumlah kontena Westports kerana laluan perdagangan ini menyumbang 66 peratus daripada jumlah kontena yang dikendalikan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Iklan

Dalam segmen konvensional, Westports mengendalikan 9.02 juta tan kargo pukal yang menyokong aktiviti ekonomi domestik.

Jumlah pengendalian ini termasuk kargo projek, produk keluli, kacang soya, jagung, batu hangus/slag dan baja.

Iklan

Syarikat itu turut berkongsi jumlah pinjaman keseluruhannya yang meningkat kepada RM1.08 bilion berikutan pengeluaran RM355 juta baru-baru ini oleh anak syarikat milik penuhnya untuk memudahkan pembelian Marina Land bagi menyokong Pengembangan Terminal Kontena Westports 2, kepunyaan syarikat tersebut.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan, dua bidang tanah dengan kos melebihi RM600 juta akan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang tanpa sebarang kos, selaras dengan perjanjian konsesi bersama kerajaan.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, ia merupakan satu pencapaian penting yang dicapai syarikat pada suku ketiga 2024.

"Malaysia Book of Records telah mengiktiraf Westports kerana memiliki dermaga linear terpanjang, dengan panjang keseluruhan 6,585 meter."

"Pengembangan Terminal Kontena Westports 2 yang meliputi dari CT10 hingga CT17 telah dimulakan dan akan menyaksikan Westports 2 hampir menggandakan kapasiti pengendalian limbungan sedia ada dari 14 juta TEU kepada 28 juta TEU," katanya. - Bernama