LAHAD DATU - Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 4, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun meninggal dunia di lokasi manakala, rakannya dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang dinaiki dua mangsa dan juga sebuah van yang dinaiki tiga individu termasuk pemandu berusia 68 tahun.
"Hasil siasatan mendapati, van yang dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Tungku hendak membelok masuk ke simpang sebelah kanan dan pada masa sama, motosikal dinaiki dua mangsa dari arah bertentangan telah terlanggar bahagian tepi kiri van tersebut.
"Akibat kejadian itu, pemandu van bersama dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan namun penunggang motosikal telah meninggal dunia di lokasi dan pembonceng mengalami kecederaan parah dan segera dihantar ke hospital menggunakan ambulans," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana individu yang menyaksikan kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.