HULU LANGAT - Ketua masyarakat merupakan wakil kepada kerajaan untuk melihat segala masalah dan keperluan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz sehubungan itu berkata, segala keperluan penduduk contohnya kemudahan asas dan permasalahan di kampung perlu diberi perhatian sekiranya penduduk perlu bantuan.
Ujarnya, cara untuk membantu adalah dengan membawa dan mengemukakan masalah yang disuara penduduk kepada pihaknya untuk dinilai dan diselesaikan dengan segera.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kampung Haji Palil di sini selepas menerima aduan mengenai keperluan penduduk yang dibangkitkan ketua kampung berkenaan.
Terdahulu, beberapa isu dibincangkan antaranya mengenai kedudukan tong sampah yang mengganggu laluan kenderaan, jalan rosak, isu perparitan khususnya penyediaan longkang serta limpahan air dari kawasan asrama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua di Kampung Haji Palil.
Johan mengulas lanjut berkata, kesemua masalah yang dibangkitkan akan diatasi dengan segera termasuk dengan penurapan jalan baharu sejauh 850 meter di kawasan mengalami kerosakan.
"Bagi isu kedudukan tong sampah itu kita nampak ada jalan penyelesaiannya, cuma hendak hitam putih dari pihak KDEB Waste Management, dan mereka maklum ia boleh diselesaikan.
"Masalah ketiadaan longkang menyebabkan air melimpah dari kawasan asrama IKBN pula akan diatasi dengan penyediaan longkang," ujarnya.