NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melupuskan 43 kes barangan tiruan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM631,141.60.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Aris Mamat berkata, ia melibatkan pelupusan rampasan sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan dalam tempoh tiga tahun ini.
" Kesemuanya adalah barang-barang tiruan seperti baju, kasut, arak, dakwat pencetak, alat ganti kenderaan, minyak wangi dan lain-lain.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelupusan Ekshibit yang berlangsung di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguat Kuasa KPDN di sini pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, barangan rampasan berkenaan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019, dan Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Terdapat beberapa kaedah pelupusan yang biasa kita jalankan antaranya lucut hak milik dan dimusnahkan berikutan barangan tersebut tidak boleh dipulangkan semula kepada pemilik, untuk hari ini kita musnahkan menggunakan mesin pemusnah," katanya.
Katanya, barang dimusnahkan berkenaan dirampas di pelbagai peringkat perniagaan bermula daripada peruncit, pemborong seterusnya terhadap pengeluar.
"Bukan sahaja barang tiruan, ada antara barang yang dirampas ini tidak mengikut standard ditetapkan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM) selain turut dikesan menggunakan skim piramid dengan menyalahgunakan lesen jualan langsung," katanya.
Aris berkata, barang tiruan dan tidak mengikut spesifikasi SIRIM seperti produk kecantikan dan komponen kenderaan dibimbangi memberi mudarat kepada pengguna.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyeru semua pihak untuk menyokong pelaksanaan inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan pada 19 Oktober lalu bertujuan membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi.
"KPDN juga meminta semua pihak untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan," katanya.