KEPALA BATAS - Seorang imam surau meninggal dunia dalam keadaan sujud ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Permatang Pak Elong, di sini pada Jumaat.
Difahamkan ketika kejadian, Allahyarham Yakob Ramli sedang melakukan sujud sajadah sebelum dia dikatakan tiba-tiba terdiam dan tidak bergerak.
Menerusi satu gambar yang tular, kelihatan beberapa jemaah cuba memberikan bantuan CPR (Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari) kepada Yakob.
Bagaimanapun Allahyarham disahkan meninggal dunia sebelum jenazah dibawa ke Hospital Kepala Batas.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Permatang Bogak, di sini selepas solat Jumaat.
Sementara itu di laman sosial, netizen menzahirkan pelbagai reaksi termasuk ada yang mencemburui kematian Allahyarham.
Seorang pengguna Facebook menulis, kematian yang dicemburui, seorang imam dijemput mengadap ilahi ketika jadi imam solat Subuh pagi tadi.
"Seorang qari dalam Al-Quran. Suara yang merdu bila mengalunkan Al-Quran.
"Arwah pergi pada pagi Jumaat ketika sujud Sajadah...ALLAH ambil mu di hari yang baik, di saat dan ketika yang baik," tulisnya.