ALOR SETAR - Ketidakhadiran seorang wanita ke tempat kerjanya terjawab apabila mangsa dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan berhampiran Titi Merah Liverpool di Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan, di sini, pada Jumaat
Anak saudara mangsa, Noor Syuhadah Dzulkifly, 28, berkata, majikan kepada ibu saudaranya, Siti Rohani Saad, 37, ada menghubungi dirinya dan memaklumkan mangsa belum tiba di tempat kerjanya.
Menurutnya, dia kemudiannya menghubungi seorang lagi ibu saudara, Naziroh Saad, 50, yang tinggal bersama mangsa di Kampung Kuala Lanjut,Pokok Sena dan dimaklumkan wanita itu yang bekerja di sebuah kedai makan telah keluar seawal 6 pagi untuk ke di Jalan Pegawai.
"Selepas itu, masing-masing mula risau dan majikannya mencari mangsa sekitar Alor Setar, manakala sepupu-sepupu saya mencari sekitar kawasan sini.
"Selepas itu, kami dapat tahu motosikal Mak Su ditemui dekat sungai ini melalui WhatsApp dan saya minta sepupu memeriksa kesahihannya dan dapati betul motosikal ditemui itu miliknya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Bagaimanapun, kata Noor Syuhadah, mereka berasa pelik dengan penemuan motosikal mangsa berhampiran titi berkenaan, manakala mangsa tidak ditemui.
"Tidak logik, dia akan lalu (menunggang motosikal) di laluan ini disebabkan Mak Su keluar rumah seawal jam 6 pagi.
"Dari rumah ke kawasan ini (mengambil masa) dalam 12 minit, Mak Su tidak mungkin lalu ikut sini (sebaliknya) dia akan lalu laluan utama," katanya.
Beliau menambah, mereka bimbang keselamatan Siti Rohani memandangkan mangsa terus gagal dihubungi.
Sehubungan itu, Noor Syuhadah berkata, mereka sekeluarga berharap ibu saudara ditemui segera dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya berdepan sedikit cabaran dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa memandangkan hujan dan keadaan arus air kuat.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya meneruskan kawasan pencarian mangsa antara lima hingga tujuh kilometer (km) dan akan menyelusuri sungai menggunakan bot.
Menurutnya, pihaknya juga menerima bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Berdasarkan selaman pasukan penyelamat di air (PPDA) di lokasi kejadian, kedalaman sungai sekitar tujuh meter (m) di bahagian tengah," katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya meminta bantuan Unit Pengesan (K9) PDRM dari Kuala Lumpur yang akan hadir pada Sabtu untuk membantu operasi tersebut.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguh pada 7 malam Jumaat dan akan disambung semula pada 8 pagi Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner, Siti Nor Salawati Saad mengesahkan menerima laporan dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai Orang Hilang.
Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan kepada pihak Polis Kota Setar dengan menghubungi Ketua Polis Balai Langgar Sarjan Mejar Ku Fauzi Ku Bakar di talian 0115503352 atau talian Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar 047747222.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan berhampiran Titi Merah Liverpool di Sungai Pendang, di sini, pada Jumaat.