GEORGE TOWN - Proses bedah siasat dua beranak yang maut ditikam seorang lelaki dalam kejadian pada tengah hari Khamis selesai kira-kira jam 7 malam, Jumaat.
Jenazah Zulkifli Ibrahim, 62, dan anaknya, Siti Zulaila, 30, dituntut oleh ahli keluarga sebelum dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang pada jam 7.20 malam.
Kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong untuk disembahyangkan.
Difahamkan, kedua-dua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjung Tokong selepas solat Isyak nanti.
Dalam kejadian pada petang Khamis, seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Suspek berusia 32 tahun mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri.
Suspek yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 14 November ini.