Tak mustahil Trump bekerjasama dengan Iran henti genosid di Gaza

Iklan
Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani (kanan) semasa Program Interviu 'Trump dan masa depan dunia' disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Tidak mustahil Donald Trump akan bekerjasama dengan Iran sekiranya Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu enggan menyokong usul pendamaian untuk menghentikan genosid di Gaza.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih itu boleh bertindak sedemikian atas faktor Trump bukan ahli politik global yang boleh dijangka.

Iklan
Iklan
Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani (kanan) semasa Program Interviu 'Trump dan masa depan dunia' disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, tindakan Netanyahu yang kini sudah diluar kawalan juga, akan menyukarkan usaha menghentikan keganasan yang berlaku di Asia Barat.

"Nampak Netanyahu nak teruskan (perang). Sebab bagi dia, kalau peperangan di Timur Tengah (Asia Barat) berterusan dan AS (Amerika Syarikat) terlibat dalam perang ini, ia akan jadi perang yang besar, serta bagi kepentingan kepada Israel.

Iklan

"Tapi Trump tak berfikiran begitu. Dia mahu lihat keadaan di Timur Tengah (Asia Barat) yang lebih stabil.

"Saya rasa kalau Netanyahu tak menyokong usul pendamaian yang dibawa oleh trump, saya tidak terkejut kalau Trump akan nyatakan sokongan kerjasama dengan Iran," katanya dalam Program Interviu 'Trump dan masa depan dunia' disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau mengulas berhubung harapan terhadap Trump dalam menunaikan janji kempen plilihan rayanya bagi meneruskan keamanan di luar negara, termasuk menamatkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin yang juga Penganalisis Politik dan Kajian Antarabangsa menjangkakan Trump akan campur tangan dalam pembebasan Palestin, namun bentuk tindakannya masih sukar diramal.

Namun jelas beliau, perspektif Trump boleh berubah-ubah sekiranya merasakan sesuatu keputusan yang dibuat mampu memberi kepentingan kepada AS, termasuk perniagaannnya.

"Tapi dalam konteks sekarang ini, negara-negara Arab, terutamanya negara-negara teluk, mungkin juga akan menggesa Trump campur tangan dan menyelesaikan isu ini dalam usaha untuk menormalisasikan hubungan antara negara Arab dengan Israel.

"Itu satu yang menarik. Sebab normalisasi hubungan antara negara-negara Arab yang memang mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel ni bermula sebenarnya pada zaman Trump menjadi Presiden AS...(jadi) saya rasa Trump akan meneruskan agenda ni dan memaksa Israel untuk berdamai.

"Cuma saya harapkan tekanan daripada negara-negara Islam ni terus kuat kepada Trump supaya melaksanakan dasar 'one state solution' berbanding 'two states solution' bagi mewujudkan integrasi antara penduduk Palestin dan warga Israel - untuk mewujudkan sebuah negara,"katanya.

Jelas beliau lagi, Trump mahu melaksanakan normalisasi hubungan di Asia Barat demi mewujudkan suasana kondusif untuk perdagangan.

"Semua isu negara-negara dia nak selesaikan dan kelebihan tu memberi kelebihan kepada AS - hentikan peperangan tapi lebih banyak (manfaat) perdagangan,"katanya.