NILAI - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat nahas dengan sebuah lori dalam kejadian di kilometer 284.3 Lebuhraya Utara Selatan arah ke Selatan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian pada jam 12.44 tengah hari itu melibatkan sebuah lori jenis Volvo dipandu lelaki berumur 42 tahun dan motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 21 tahun.
Iklan
Iklan
"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lori berkenaan sedang bergerak perlahan di lorong paling kiri sebelum motosikal mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan melanggar sisi kanan belakang lori terbabit.
"Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).
"Atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor B Sharveen di talian 010-26176424," katanya.