Laporan PAC bukan ‘tangkap muat’

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Mas Ermieyati

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan bahawa maklumat dalam laporannya mengenai Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) terutamanya berhubung isu penjualan Menara Semarak20 bukanlah sekadar ‘tangkap muat’.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, semua maklumat dan fakta yang diperoleh jawatankuasa itu dalam laporan berkenaan adalah daripada pembentangan oleh Felcra sendiri ketika prosiding yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Iklan
Iklan

Justeru, PAC mahu semua pihak termasuk Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membaca terlebih dahulu laporan berkenaan dan meneliti semua fakta serta maklumat yang dilaporkan sebelum membuat tuduhan terhadap PAC.

"PAC ingin menjelaskan bahawa segala maklumat dan fakta yang terdapat dalam Laporan PAC atau Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal Terhadap Syor PAC adalah diperoleh daripada kementerian, jabatan dan agensi yang hadir ketika prosiding.

Iklan

"Ia termasuklah bagi isu penjualan Menara Semarak20 yang dilaporkan dalam Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen berhubung Felcra Berhad,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegur PAC kerana didakwa tidak mendapatkan maklumat sebenar mengenai penjualan bangunan komersial Menara Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dikendalikan Felcra.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Pengerusi Felcra dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra juga diminta untuk memberi penjelasan kepada PAC supaya jawatankuasa itu tidak 'tangkap muat' sahaja dengan maklumat yang diperoleh.

Tambah Mas Ermieyati, PAC adalah Jawatankuasa bipartisan yang dianggotai 14 ahli Dewan Rakyat, sembilan daripada kerajaan dan lima daripada pembangkang.

Ia dibantu tujuh wakil tetap (ex officio) kementerian terdiri daripda Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.

"Sebelum PAC membentangkan laporannya di Dewan Rakyat, ia perlu melalui proses yang rumit bagi menentu sahkan segala rumusan, syor dan ulasan, malah ia perlu mendapatkan persetujuan konsensus daripada semua ahli PAC termasuk ex-officio PAC.

"PAC tidak akan memanggil mana-mana pihak lagi untuk memberikan segala maklumat dan fakta berhubung penjualan Menara Semarak20 kerana dua laporan berhubung bangunan berkenaan telah dikeluarkan.

"Bagaimanapun, PAC akan berbincang untuk membuat keputusan bagi membahaskan laporan tindakan susulan mengenai Felcra ini di Dewan Rakyat seperti yang pernah dibuat untuk laporan mengenai HRDCorp pada Julai lalu,” ujar beliau.

Jelas Mas Ermieyati, penerangan Pengerusi PAC dalam Dewan Rakyat adalah medan terbaik untuk rakyat mengetahui sama ada maklumat yang diperoleh PAC adalah ‘tangkap muat’ atau tidak.

Tegasnya, Ahmad Zahid juga boleh turut serta dalam perbahasan berkenaan bagi mempertahankan penjualan Menara Semarak20 yang sehingga kini masih belum terjual.