Syarikat tudung milik Vivy Yusof dalam siasatan SPRM

Iklan
Sebuah syarikat tudung berjenama yang diasaskan pemilik FashionValet, Datin Vivy Yusof kini dalam radar siasatan SPRM - Gambar hiasan (Gambar kecil: Azam)

PUTRAJAYA - Sebuah syarikat tudung berjenama yang diasaskan pemilik FashionValet, Datin Vivy Yusof kini dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap syarikat berkenaan berikutan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Iklan
Iklan

"Siasatan merangkumi pembelian syarikat yang dikatakan menjadi milik pasangan usahawan itu termasuklah bagaimana ia boleh dibeli dan pihak mana yang memberikan kebenaran.

"Selain itu, siasatan turut tertumpu aspek perbelanjaan wang pelaburan yang diperolehi sama ada ia menjurus kepada pembayaran pembelian syarikat berkenaan," katanya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, siasatan kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet sebanyak RM43.9 juta dijangka tidak boleh diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya jangka siasatan ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat, apa pun pegawai SPRM melakukan yang terbaik sepanjang siasatan berkaitan.

Iklan

"Siasatan merangkumi keputusan korporat yang ada proses serta tindakan tertentu, ia akan mengambil sedikit waktu," katanya.

Menurutnya, kemungkinan pihaknya turut akan memanggil semula Vivy dan suaminya untuk proses rakaman keterangan.

"Kita mendapatkan maklumat menerusi dokumen, akaun, pelaburan yang masuk ke dalam FashionValet serta aset-aset yang dimiliki ketika beberapa sesi terdahulu.

"Saya tidak jangka ia dapat diselesaikan segera, kemungkinan kedua mereka akan dipanggil semula untuk proses rakaman keterangan," katanya.

Terdahulu media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah serta PNB.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, orang ramai membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Vivy dan Fadzaruddin Shah turut memberi maklum balas mengenai isu itu dengan mengambil tindakan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka pada malam Selasa, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah kedua-duanya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.