Bumbung rumah terbang akibat puting beliung

Iklan
Keadaan rumah Muhammad Hafizudin selepas kejadian puting beliung yang berlaku sekitar jam 4 petang pada Jumaat. - Foto: APM (Gambar kecil: Tangkap layar video tular kejadian puting beliung di Kampung Bukit Cepat, dekat Kobah pada petang Jumaat.)

PENDANG - Bumbung sebuah rumah diterbangkan oleh pusaran angin seperti puting beliung tidak sampai lima minit dalam kejadian di Kampung Bukit Cepat, dekat Kobah, di sini pada petang Jumaat.

Mangsa kejadian, Muhammad Hafizudin Salim, 30, berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 4 petang selepas dia baru pulang ke rumah dari tempat kerjanya di sebuah hotel di Pendang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa kejadian, bapanya, Salim Md Hassan, 69, dan ibunya, Rokiah Aziz, 64, sedang berehat di luar rumah.

"Kejadian puting beliung itu sangat menakutkan kerana ia berlaku tak sampai lima minit tetapi habis bumbung rumah berterbangan manakala barangan dalam rumah pula rosak.

Iklan

"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan ditolak angin sehingga terjatuh ke dalam parit tetapi mujur dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," katanya ketika dihubungi pemberita.

Jelas Muhammad Hafizudin, ketika kejadian dia baru sahaja memasuki biliknya dan melihat dari tingkap rumah pusaran angin kuat seperti belalai air menerpa ke bahagian rumah mereka.

Iklan
Keluarga Muhammad Hafizudin mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas kejadian puting beliung yang berlaku sekitar jam 4 petang pada Jumaat. Foto: APM

Menurutnya, kejadian tersebut menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM20,000 dan kejadian itu adalah kali kedua berlaku selepas insiden sama berlaku pada 2012 namun tidak seteruk hari ini.

Sementara itu, sebanyak enam buah rumah penduduk rosak akibat fenomena tersebut yang berlaku di dua kampung di Pendang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, empat buah rumah yang terjejas berlaku di Kampung Kobah dan dua rumah lagi di Kampung Bukit Cepat.

Menurutnya, berlaku kejadian hujan dan angin kencang di sekitar Pendang yang mengakibatkan ribut di beberapa buah kampung pada jam 2.45 petang.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang telah menerima aduan berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Kg Bukit Cepat dan Kg Kobah pada jam 6.51 petang.

" Anggota APM Pendang telah membuat pemantauan di lokasi kejadian ribut dan mendapati terdapat dua buah rumah yang terjejas di Kampung Bukit Cepat, dan empat buah rumah yang terjejas di Kampung Kobah disebabkan ribut yang berlaku,” katanya pada Jumaat.

Jelasnya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan APM menasihati orang awam agar berhati-hati dan terus menghubungi pihak berkenaan jika berlaku sebarang kecemasan.

Terdahulu, tular dua rakaman video di media sosial menyaksikan kejadian berkenaan berlaku di Pendang dan satu lagi berlaku di Kampung Padang Besar, Yan.

Kejadian di Pendang difahamkan berlaku di kawasan sawah dan sungai dan penduduk yang merakamkan fenomena berkenaan menerusi video berdurasi sepanjang satu minit lapan saat berasa terkejut dengan apa yang berlaku.

Ketika kejadian awam kelihatan gelap dan penduduk menyatakan hujan akan berlaku.

Sementara itu, fenomena puting beliung yang berlaku Kampung Padang Besar turut menarik perhatian warganet apabila video berdurasi 19 saat itu turut tular di media sosial.

Video berkenaan memaparkan pusarannya yang turut diikuti dengan awan hitam yang seperti kelihatan dari atas sampai ke bawah.