Hanya UNIFIL boleh putuskan untuk berundur

Iklan
Pengunduran pasukan pengaman termasuk anggota MALBATT yang menyertai misi di Lubnan hanya boleh diputuskan oleh UNIFIL. (Gambar kecil: Salawati)

SHAH ALAM - Pengunduran pasukan pengaman termasuk anggota MALBATT yang menyertai misi di Lubnan hanya boleh diputuskan oleh UNIFIL.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, Malaysia juga tidak boleh mengambil keputusan sendiri untuk membawa pulang pasukan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita kena lihat perjanjian dibuat MALBATT adalah dengan UNIFIL. Jadi, kita tidak boleh (dengan mudah buat keputusan untuk) undurkan pasukan sebab arahan itu (berundur) hanya boleh dilakukan oleh UNIFIL. Ini bukan soal pengecut atau tidak.

"Di sana UNIFIL mempunyai pasukan taktikal, ada komander dan sebagainya. Jadi, semua (tindakan yang diambil) ada prosesnya," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mengulas lanjut, Salawati menegaskan, isu anggota pasukan keselamatan cedera bukan sahaja dialami MALBATT, tetapi turut dialami negara lain termasuk Indonesia.

Malah katanya, negara jiran itu juga tidak bertindak untuk tarik diri atau berundur begitu sahaja.

Iklan

"Kita kena faham, anggota tentera kita pergi ke tempat konflik, bukan pergi ke negara aman. Jadi, apa yang kita harapkan? Bagi saya kita kena lihat dulu perjanjian sebelum membuat sebarang syor atau cadangan," katanya.