SHAH ALAM - Kekurangan fasiliti di sekolah kebangsaan terutamanya di kawasan luar bandar ataupun pedalaman antara masalah yang sering dibangkitkan dan membelenggu guru-guru yang mahu memberikan pengajaran berkualiti kepada pelajar mereka.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd Azizee Hasan berkata, sekolah yang mempunyai pelajar ramai juga menyebabkan kelas menjadi padat disebabkan kelas tidak mencukupi.
Menurutnya, isu-isu berkenaan masih lagi berlarutan sehingga hari ini dan kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada perkara tersebut jika mahu terus meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan di negara ini.
"Selain itu, antara masalah yang sering dibangkitkan adalah kekurangan fasiliti berkaitan peralatan digital seperti smart TV dan juga isu capaian internet yang secara tidak langsung boleh mengganggu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Namun pada waktu yang sama juga, pihaknya berharap kementerian perlu mengurangkan lagi tugas pengkeranian yang perlu dilakukan oleh guru kerana ia bukan bidang tugas mereka.
"Guru perlu diberikan ruang fokus kepada tugas hakiki iaitu mengajar walaupun dalam masa yang sama akur kepada dokumen standard guru Malaysia ataupun SK@S (Standard Kualiti Sekolah) di tempat mereka mengajar.
"Dalam hal ini, kami mencadangkan agar perlu tambah pengambilan guru baharu, guru one off, guru subjek ataupun guru berijazah mengikut keperluan dan kemampuan kewangan bagi membantu mengurangkan beban guru sedia ada,” ujarnya.
Tambah Mohd Azizee, KPM juga dicadangkan agar dapat meningkatkan geran peruntukan guru ganti bagi menampung kekosongan guru yang bersalin, sakit kritikal dan sebagainya termasuk mewujudkan jawatan pembantu kemahiran di sekolah.Katanya, terdapat guru yang turut diberikan tugas untuk menyeri dan menambah baik fasiliti sekolah dan sudah tiba masanya perkara tersebut perlu diasingkan dan tidak diwajibkan sebagai tugas mereka.
"Perkara ini perlu kenal pasti skop dan bidang tugas sebenar guru. Sebahagian tugas itu menjadi tanggungjawab pentadbir sekolah. Pengurusan sekolah yang berkualiti perlu mengutamakan tugas utama guru di sekolah iaitu PdP,” jelasnya lagi.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan tiga panelis iaitu bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh merumuskan 20 syor ketika Program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya?